20 hadiri Bengkel Eksklusif CONFEX

20 hadiri Bengkel Eksklusif CONFEX

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Kira-kira 20 kakitangan agensi kerajaan dan sektor swasta yang terlibat dalam bidang pemasaran serta telekomunikasi telah menghadiri Bengkel Eksklusif CONFEX bagi Peningkatan Kemahiran Pengurusan Projek, hari ini.

Bengkel selama tiga hari anjuran CONFEX itu berlangsung di Restoran RMS Portview Seafood dan dikendalikan oleh fasilitator undangan iaitu Presiden dan Pengasas ThinkTank Consulting, Jamal Moustafaev.

Beliau merupakan penceramah dan pakar yang diiktiraf antarabangsa dalam bidang pengurusan projek/portfolio.

Dalam kenyataannya hari ini, CONFEX menyatakan matlamat bengkel itu adalah bagi membantu para peserta memilih kaedah terbaik digunakan dalam pemilihan projek untuk dilaksanakan.

Selain itu, mereka diberikan panduan mengenai cara membuat penilaian terhadap keupayaan syarikat dengan tepat serta mengetahui lebih dalam akan tiga tonggak utama pengurusan portfolio, termasuk cara untuk memaksimumkan nilai projek, menyeimbangkan butiran projek dan seterusnya menggabungkannya dalam strategi induk.

Jamal Moustafaev ketika mengendalikan bengkel mengenai pengurusan projek.
Jamal Moustafaev ketika mengendalikan bengkel mengenai pengurusan projek.

Antara topik-topik yang dibincangkan pada hari pertama termasuk selok-belok perundingan dan cara terbaik menjalankan rundingan dan elemen-elemen rundingan yang harus diambil kira. Di samping itu, peserta juga diperkenalkan kepada asas ekonomi, falsafah dan sejarah pengurusan projek serta cara memulakan sesebuah projek.

Sementara pada hari kedua bengkel, peserta diajar mengenai cara menggabungkan daya kreatif dalam projek yang dirancang dan membuat jangkaan terhadap jangkaan pelanggan, menyemak serta membuat pemeriksaan teknikal, mengawal pelaksanaan projek dan mengesan risiko.

Pada hari ketiga pula, para peserta dikenalkan kepada cara mempertimbangkan elemen sesebuah projek untuk menghasilkan portfolio yang seimbang serta cara membuat pembentangan keputusan projek yang baik.

CONFEX merupakan syarikat pengendali acara yang menyediakan khidmat latihan khusus dalam merancang/mengatur mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran peringkat korporat.

ARTIKEL YANG SAMA