20 maut pertempuran di majlis perkahwinan

20 maut pertempuran di majlis perkahwinan

KUNDUZ, Afghanistan, 27 Julai (AFP) – Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh apabila pertempuran meletus di satu majlis perkahwinan di utara Afghanistan, menurut para pegawai hari ini.

“Pertempuran meletus kelmarin di antara kumpulan lelaki bersenjata di majlis perkahwinan di daerah Deh Salah dalam wilayah Baghlan.

“Akibat kejadian itu 20 orang terbunuh manakala 10 yang lain mengalami kecederaan,” jurucakap polis wilayah, Jawed Basharat memberitahu AFP.

Ketua Polis Daerah Gulistan Qusani berkata kumpulan lelaki bersenjata mengeluarkan kata-kata kesat sebelum pertempuran meletus.

“Akibat kejadian itu, seorang pegawai keselamatan tempatan melepaskan tembakan amaran ke udara selepas insiden berbalas kata-kata kesat semakin tegang…dan kemudian kedua-dua belah pihak mula berbalas tembakan,” Qusani memberitahu AFP, sambil memberikan jumlah maut seramai 21 orang.

Beliau menambah bahawa mangsa-mangsa semuanya jemputan lelaki di majlis perkahwinan itu yang berusia di antara 14 hingga 60 tahun.

Jurucakap polis, Baghlan Sultan Mohammad Ebadi berkata delegasi pegawai sudah dikerah ke kawasan kejadian untuk menjalankan siasatan menyeluruh.