20 Muslimah masjid sertai Kuliah Ilmu Feqh

20 Muslimah masjid sertai Kuliah Ilmu Feqh

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 23 Mei – Lebih 20 orang dalam kalangan Muslimah masjid telah menyertai Kuliah Ilmu Feqh, Muwafiq dan Masbuk yang berlangsung di Masjid STKRJ Lorong Tiga, di sini, hari ini.

Selain disertai oleh Muslimah Masjid STKRJ Lorong Tiga Selatan Seria, kuliah tersebut turut disertai oleh para Muslimah Masjid Pekan Seria dan Masjid Kampung Sungai Liang itu.

Kuliah kendalian Kelas Bimbingan Muslimah dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid STKRJ Lorong Tiga Selatan Seria dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait itu antara lain bertujuan untuk meningkatkan kefahaman kalangan kaum Muslimah dalam hal-hal solat seperti kepentingan mengetahui muwafiq, masbuk dan berjemaah.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk terus memberikan bimbingan kepada kalangan muslimah melalui praktikal, serta memberikan peluang kepada mereka untuk mengemukakan sebarang kemusykilan mengenai perkara-perkara yang berhubungkait dengan solat.

Pengetahuan secara praktikal turut diberikan kepada peserta Kuliah Ilmu Feqh yang terdiri daripada kalangan Muslimah masjid.
Pengetahuan secara praktikal turut diberikan kepada peserta Kuliah Ilmu Feqh yang terdiri daripada kalangan Muslimah masjid.

Kuliah telah disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Haji Haslan bin Haji Shahbudin yang antara lain menerangkan mengenai maksud muwafiq, masbuk dan solat berjemaah.

Di samping, beliau turut menerangkan mengenai dengan seseorang yang terlewat untuk masuk dalam solat berjemaah, had dan kadar seseorang yang dikatakan muwafiq dan masbuk.

Para Muslimah turut diberikan pengetahuan secara praktikal berkenaan solat berjemaah, muwafiq dan masbuk.

ARTIKEL YANG SAMA