20 orang sertai Bengkel Menghalusi Bacaan Doa

20 orang sertai Bengkel Menghalusi Bacaan Doa

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA, 2 Feb – Kira-kira 20 orang dalam kalangan pegawai hal ehwal masjid, imam dan bilal serta marbut dari masjid-masjid seluruh negara telah menyertai Bengkel Menghalusi Bacaan Doa-doa yang telah diadakan di Masjid Zainab Kampung Lumut, hari ini.

Bengkel kendalian Bahagian Bimbingan dan Latihan, Jabatan Hal Ehwal Masjid itu antara lain bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan mutu bacaan kalangan pegawai masjid, di samping mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam bacaan doa sama ada dari segi makhraj al-huruf mahupun fasahah serta bagi meningkatkan hafalan dan kelancaran bacaan doa mereka.

Ia telah dikendalikan oleh tenaga pengajar yang terdiri daripada para pegawai Bahagian Bimbingan dan Latihan di samping bantuan daripada ketua-ketua zon yang terpilih antaranya Haji Suhaimi bin Haji Mohd Noor, Haji Mohd Sahri bin Haji Sulaiman dan Haji Amymoor bin Haji Mohd Yaakub.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, ke arah mempertingkatkan kualiti dan profesionalisme imam-iman di seluruh negara, maka adalah menjadi tanggungjawab Bahagian Bimbingan dan Latihan, Jabatan Hal Ehwal Masjid untuk mengadakan pelbagai jenis kursus atau bengkel.

Bengkel Menghalusi Bacaan Doa-doa yang diadakan di Masjid Zainab Kampung Lumut semalam.
Bengkel Menghalusi Bacaan Doa-doa yang diadakan di Masjid Zainab Kampung Lumut semalam.

pg08_160203_d

Bengkel yang dilaksanakan adalah dalam bentuk latihan berulang mahupun latihan berkala, antara latihan berulang ialah seperti menghalusi aqwal wa afwal dalam solat, taranum bil Quran, penyampaian khutbah yang berkesan dan sebagainya.

Manakala latihan berkala pula seperti kursus motivasi imam cemerlang, bengkel pengurusan dan pentadbiran masjid, bengkel pentakmiran aktiviti masjid dan lainnya. Sementara itu Bengkel Menghalusi Bacaan Doa-doa merupakan sebagai latihan berulang, turut diisikan dengan bengkel intensif bacaan khusus bagi pegawai-pegawai masjid yang terpilih.