20 pasukan sertai Futsal PBDB-BMC

20 pasukan sertai Futsal PBDB-BMC

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 14 Ogos – Sebanyak 20 pasukan futsal dari Daerah Belait akan berentap dalam Kejohanan Liga Futsal II anjuran Pertubuhan Bolasepak Daerah Belait (PBDB) dan Brunei Methanol Company (BMC) bermula dari 23 hingga 30 Ogos ini.

Dalam taklimat di Kompleks Sukan Mumong, Kuala Belait untuk kejohanan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Ke-69 ini, 20 pengurus pasukan hadir untuk membuat undian bagi menentukan kumpulan masing-masing. Pasukan yang menyertai kejohanan tahun ini adalah Vegrow City B, Waza FT A, Indera SC FT A, Unity FC dan BOLOS FT yang ditempatkan di dalam Kumpulan A. Kumpulan B pula akan menyaksikan juara Fun Futsal PBDB awal tahun ini, Pandan 6 FT bersaing dengan pasukan PBDB, Panaga FBT A, BMC dan RIO FC.

Manakala Kumpulan C dilihat sebagai kumpulan maut dengan juara edisi pertama, FC akan berentap bersama Family Team, FF FT, Vegrow City A dan West Assets FC, dan Kumpulan D menempatkan Pasukan Brunei LNG, BSRC Maestro, Panaga FBT B, BVB dan Waza FT B.

Perlawanan Kumpulan A akan berlangsung pada 23 Ogos, Kumpulan B pada 25 Ogos, Kumpulan C dan D pada 28 Ogos dan perlawanan suku akhir akan berlangsung pada 29 Ogos dengan separuh akhir dan final akan berlangsung pada 30 Ogos. Setiausaha Agung PBDB, Awang Morni bin Haji Zakaria selaku pengerusi bersama kejohanan memberitahu, sambutan kali ini amat menggalakkan dengan empat pasukan baru menyertai 16 pasukan tahun lepas.

Salah seorang pengurus pasukan membuat cabutan semasa taklimat kejohanan PBDB-BMC yang akan bermula 23 Ogos ini.
Salah seorang pengurus pasukan membuat cabutan semasa taklimat kejohanan PBDB-BMC yang akan bermula 23 Ogos ini.
Piala kejohanan yang akan menjadi rebutan 20 pasukan bermula 23 Ogos ini.
Piala kejohanan yang akan menjadi rebutan 20 pasukan bermula 23 Ogos ini.

Menurut beliau lagi, setiap pasukan akan diberi masa seminit ‘time-out’ yang boleh digunakan sekali bagi setiap separuh masa dalam perlawanan berdasarkan peraturan FIFA dan AFC. Juara nanti akan menerima hadiah wang tunai sebanyak $1,000, tempat kedua akan $700, tempat ketiga $500 manakala tempat keempat $300 bersama piala iringan dan pingat bagi setiap pemain.

Kejohanan edisi kedua ini adalah disokong oleh BMC, Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan DYMM Ke-69, Jabatan Belia dan Sukan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jabatan Daerah Belait dan Perkhidmatan Kecemasan Ambulans.