20 pegawai k’jaan sertai Bengkel BI

20 pegawai k’jaan sertai Bengkel BI

pg11_151031_b

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Selaras dengan usaha untuk berkongsi ilmu dan pemindahan teknologi, BAG Networks baru-baru ini telah menganjurkan Bengkel ‘Business Intelligence (BI)’ yang dihadiri oleh seramai 20 orang pegawai kanan kerajaan, dijemput khas dari Perbendaharaan Negara, Jabatan Hasil, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD).

Menurut satu kenyataan di sini, bengkel eksklusif ini yang diadakan di Bangunan Desain & Teknologi pada 28 Oktober lalu, disampaikan oleh perunding teknikal dan pakar BI di BAG Networks, Chandana N. Athauda (kanan).

Bengkel separuh hari itu direka agar para peserta dapat mengenal bagaimana BI boleh membantu mencapai kejayaan organisasi dalam persekitaran yang penuh persaingan.

Dengan ledakan transformasi daripada data ke pengertian, teknologi baru ini dapat memberi kemampuan kepada para pembuat keputusan untuk mengambil tindakan jitu, menyelesaikan masalah nyata dan mempercepatkan penyampaian nilai kerja.

Chandana N. Athauda, yang juga merupakan salah seorang Pakar Microsoft di Brunei berkata, “Pada masa ini, tuntutan untuk pengertian daripada dorongan data amatlah tinggi. Semakin arif pengertian awda dalam data, semakin besar peluang mencapai kejayaan.

“Kami di BAG Networks sedia membantu awda dalam peta implementasi BI dan menawarkan cadangan-cadangan khusus untuk organisasi awda,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA