20 pelajar PB dalami asas pengadil

20 pelajar PB dalami asas pengadil

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Seramai 20 orang pelajar Politeknik Brunei (PB) yang menyertai Kursus Asas Pengadil Futsal 2016 anjuran bersama Jabatan Pengadil, NFABD dan Politeknik Brunei menjadi kumpulan kedua yang perlu menjalani ‘Ujian Kecergasan’ terkini yang lebih sukar dari sebelumnya.

Ujian kecergasan yang benar-benar mencabar tahap maksimum keupayaan fizikal dan psikologi para peserta yang dijalankan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah itu diadakan dalam tiga fasa, bermula dengan ujian kepantasan, disusuli ujian kelincahan dan ujian paling sukar, Yo-Yo ARIET Tahap 2.

Di Fasa 1, para peserta perlu berlari 4×10 meter di bawah 10 saat, manakala pada Fasa 2, para peserta dikehendaki berlari lurus 30 meter diikuti dengan larian melintang 2×10 meter, disusuli dengan larian berundur 10 meter dan diakhiri dengan larian lurus 20 meter, dengan masa di bawah 20.50 saat.

Pada Fasa 3, Yo-Yo ARIET Tahap 2 pula, peserta perlu berlari lurus 2×20 meter dan berlari melintang 2×12.5 meter dengan rehat lima saat di antara keduanya, yang perlu dilakukan oleh para peserta semaksimum set yang mampu mereka lakukan pada suatu kadar masa yang telah ditetapkan.

Pelajar Politeknik Brunei bersama instruktor mereka termasuk Haji Hamidon (duduk tiga kiri) semasa sesi Ujian Kecergasan Pengadil Futsal tersebut.
Pelajar Politeknik Brunei bersama instruktor mereka termasuk Haji Hamidon (duduk tiga kiri) semasa sesi Ujian Kecergasan Pengadil Futsal tersebut.

Yang Di-Pertua AJK Pengadil Futsal Negara Brunei Darussalam, Haji Hamidon bin Haji Matzin menjelaskan ujian kecergasan Yo-Yo ARIET Tahap 2 buat pertama kalinya diterapkan di negara ini kepada peserta kursus yang sama pada Januari lalu dan ini merupakan kali kedua ia digunapakai. Beliau menjelaskan bahawa kelulusan minima ujian Fasa 3 adalah 19 set iaitu Larian Ke-37 yang meliputi jarak sejauh 1210 meter, manakala kelulusan maksimanya adalah 22 set iaitu Larian Ke-44 yang meliputi jarak sejauh 1430 meter.

Ujian kecergasan berkenaan telah dikendalikan oleh Haji Hamidon sendiri, Naib Yang Dipertua, AJK Pengadil Futsal Negara Brunei Darussalam, Bakri bin Haji Bintang, Instruktor Pengadil FIFA merangkap Pengadil FIFA, Haji Dasnan bin Haji Abdul Rahman dan Pengadil FIFA, Sukry bin Haji Matassim.

Ujian kecergasan berkenaan merupakan salah satu daripada modul dalam kursus berkenaan yang perlu dilalui oleh para peserta selain sesi teori Undang-undang Permainan di bilik kuliah di Politeknik Brunei, ujian bertulis, sesi amali pergerakan dan sesi amali pengurusan pra perlawanan dan pengurusan perlawanan di gelanggang futsal Politeknik Brunei.

Kursus yang telah bermula pada 7 Mac itu akan menutup tirainya dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil pada Selasa, 15 Mac (esok) di NFABD House.

Kursus berkenaan merupakan program pertama di bawah Memorandum Persefahaman yang telah ditandatangani oleh NFABD dan Politeknik Brunei pada 23 November 2015 yang lalu.