20 pelajar sertai Kem Kembara Pemimpin Brunei-S’pura

20 pelajar sertai Kem Kembara Pemimpin Brunei-S’pura

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Bagi mengukuhkan lagi kerjasama pendidikan di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura, seramai 20 orang pelajar dari 16 buah sekolah menengah di seluruh negara menyertai Kem Kembara Pemimpin Brunei-Singapura ke-9 yang berlangsung selama enam hari di Singapura.
Rombongan pelajar berkenaan disertai empat orang guru dari Unit Akademik, Jabatan Sekolah-sekolah, Sekolah Menengah (SM) Rimba, SM Sayyidina Umar Al-Khattab dan Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien.

Kem ini juga diadakan untuk mempromosikan budaya kehidupan antara kedua-dua buah negara serta untuk meningkatkan lagi kemahiran pemimpin dalam kalangan para peserta.

Pelajar SM PAP Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Lumut, Dayang Noratiqah binti Abdullah ketika ditemu bual berkata, “Sebelum ini kami semua telah melalui latihan selama 12 hari.

Antara para pelajar yang terlibat dalam Kem Kembara Pemimpin Brunei-Singapura ke-9.
Antara para pelajar yang terlibat dalam Kem Kembara Pemimpin Brunei-Singapura ke-9.

“Sepanjang latihan berkenaan, kami dilatih bagaimana untuk menjadi seorang pemimpin muda, berkomunikasi secara profesional dan banyak lagi. Kami juga berharap akan dapat memberikan yang terbaik.”

Sementara itu, Awang Abdul Wahab bin Haji Abdul Hamid dari Unit Akademik, Jabatan Sekolah-sekolah pula memberitahu, dengan penyertaan para pelajar ini, Kementerian Pendidikan berharap dapat menjadikan pelajar sebagai pemimpin yang lebih bertanggungjawab dan komited untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan apabila mewakili negara di samping menunjukkan model peranan yang baik sebagai ‘Brunei Junior Ambassador’.

Menurut beliau, selain menyertai pelbagai aktiviti praktikal, para peserta juga akan melibatkan diri dalam aktiviti luar sepanjang program ini berlangsung dan melahirkan harapan agar mereka akan dapat mematuhi segala peraturan yang diberikan oleh pihak penganjur dan memegang teguh falsafah Melayu Islam Beraja.

ARTIKEL YANG SAMA