20 penuntut fahami kepentingan akuakultur

20 penuntut fahami kepentingan akuakultur

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Nov – Seramai 20 penuntut Universiti Brunei Darussalam (UBD), baru-baru ini, telah mengadakan lawatan ke Golden Corporation Sdn Bhd, sebagai sebahagian daripada modul ‘Pemuliharaan dan Pengurusan Sumber-sumber Hidup’ untuk memahami akuakultur komersial dan pemprosesan penghasilan makanan laut di Daerah Tutong.

Menurut kenyataan UBD, akuakultur semakin penting dalam menghasilkan makanan laut bagi manusia, oleh itu, lawatan ini bukan sahaja memberi peluang kepada para penuntut berkenaan mempelajari mengenai faedah-faedah malahan juga isu-isu alam sekitar yang berpotensi. Lawatan tersebut diketuai oleh kakitangan akademik dari Fakulti Sains, Dr. Yasuaki Tanaka dan Dr. Gianluca Polgar.

Dalam lawatan itu, rombongan telah berkunjung ke Ladang Udang Heoi syarikat berkenaan yang terletak di Daerah Tutong, di mana mereka mempelajari mengenai praktikal dan prosedur untuk menternak udang biru daripada larva sehingga dewasa.

Kemudian, mereka dibawa ke kilang pemprosesan, di mana mereka menyaksikan proses penghasilan makanan laut melalui koridor yang berdinding kaca.

Pengurus Pentadbiran dan Sumber Tenaga Kerja syarikat itu, Jaybee D. Zobel menjelaskan, pihak mereka menekankan ke atas keselamatan dan kebersihan dalam persekitaran tempat kerja dan kilang itu dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan yang kerap menguji kualiti produk-produk makanan laut.

Rombongan UBD yang membuat kunjungan ke syarikat Golden Corporation Sdn Bhd bagi memahami akuakultur komersial dan pemprosesan penghasilan makanan laut.
Rombongan UBD yang membuat kunjungan ke syarikat Golden Corporation Sdn Bhd bagi memahami akuakultur komersial dan pemprosesan penghasilan makanan laut.
Dr Yasuaki Tanaka bersama rombongan ketika mengunjungi Ladang Udang Heoi, Syarikat Golden Corporation Sdn Bhd.
Dr Yasuaki Tanaka bersama rombongan ketika mengunjungi Ladang Udang Heoi, Syarikat Golden Corporation Sdn Bhd.

Mengulas mengenai lawatan itu, Dr. Yasuaki berkata, ia merupakan satu pengalaman hebat bagi para penuntut untuk mempelajari mengenai operasi ladang-ladang udang dan kilang pemprosesan.

Lawatan itu memenuhi keperluan akademik para penuntut, memperoleh wawasan pertubuhan Golden Corporation Sdn Bhd sebagai kajian kes mereka, dari segi pengurusan, operasi, pemprosesan, akuakultur dan banyak lagi.

Berikutan daripada lawatan itu, para penuntut ditugaskan untuk menulis laporan mengenai lawatan tersebut dan menghasilkan idea-idea mereka untuk memenuhi permintaan global yang meningkat terhadap makan laut pada masa depan.

Golden Corporation Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat terkemuka dalam penghasilan akuakultur dan makanan laut di Brunei Darussalam, malah turut memberikan perhatian kepada masalah-masalah alam sekitar dan cuba untuk membangunkan industri perikanan yang berdaya tahan untuk pada masa depan.

ARTIKEL YANG SAMA