20 peserta buka tirai Musabaqah

20 peserta buka tirai Musabaqah

Salah seorang peserta memperdengarkan bacaan hafazannya.
Salah seorang peserta memperdengarkan bacaan hafazannya.

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jun – Seramai 20 daripada 25 orang peserta memperdengarkan hafazan masing-masing pada hari pertama Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1437 Hijrah, yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Terdapat dua sesi diadakan pada hari pertama musabaqah tersebut iaitu sesi pagi dan petang. Seramai 10 peserta daripada Kategori D dan E memperdengarkan hafazan masing-masing yang mana setiap kategori itu terdiri daripada tiga peserta lelaki dan dua peserta perempuan.

Hadir pada acara sebelah pagi itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap, di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Muhammad Sunadi bin Haji Buntar.

Manakala di sebelah petang pula, sebanyak dua kategori berlangsung iaitu Kategori B dan C yang mana setiap kategori itu dua peserta lelaki dan tiga peserta telah memperdengarkan hafazan mereka.

Hadir pada sesi petang ialah Timbalan Setiausaha Tetap, di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Harun bin Haji Junid. Peringkat separuh akhir musabaqah pada 5 dan 6 April lalu yang diadakan di Dewan Kuliah, Institut Thafiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyaksikan 57 orang peserta mengambil bahagian.

Kategori B adalah bagi peserta yang berumur 15 tahun ke bawah yang dikehendaki menghafaz suruh-surah pilihan iaitu Surah Luqmaan, Surah As-Sajdah, Surah Yaasiin, Surah Al-Insaan, Surah Ar-Rahmaan, Surah Al-Waaqi’ah dan Surah Al-Mulk berserta pemahaman Surah Al-Jumu’ah, Surah Al-Munaafiquun dan Surah At-Thalaaq.

Kategori C pula menghafaz tiga Juzuk Al-Quran iaitu dari Juz 1 hingga Juz 3 berserta Pemahaman Juz 3 bagi semua peringkat umur, manakala Kategori D pula menghafaz 15 Juz Al-Quran iaitu dari Juz 1 hingga Juz 15 berserta pemahaman Juz 10 bagi semua peringkat umur dan Kategori E ialah menghafaz 30 Juz Al-Quran iaitu dari Juz 1 hingga Juz 30 berserta pemahaman Juz 21 yang mana juga dibukakan kepada semua peringkat umur.

Kategori A akan dipertandingkan pada hari kedua, diikuti dengan Penyampaian Cenderahati kepada peserta dan hakim musabaqah esok.

 

ARTIKEL YANG SAMA