20 peserta ikuti bengkel pengurusan tender

20 peserta ikuti bengkel pengurusan tender

Oleh Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jan – Kira-kira 20 peserta yang terdiri daripada pengurus eksekutif, pengurus projek dan penghantaran, jurutera dan pengurus pemerolehan dari sektor kerajaan dan swasta telah menyertai dua bengkel untuk pelanggan dan pembida anjuran CONFEX yang diadakan secara berasingan bermula 25 Januari lalu hingga hari ini.

Bengkel yang berlangsung di Restoran Makanan Laut RMS Portview, CONFEX Lounge, Jalan Sultan, di sini itu dikendalikan oleh Dr. Richard Jenkins dari Australia yang didatangkan khas oleh CONFEX bagi bengkel tersebut.

Beliau berkemahiran dalam bidang bahasa, komunikasi dan pengurusan serta pemahaman analitis, pengurusan kontrak dan rundingan pembekal. Bengkel pertama, diadakan pada 25 dan 26 Januari, adalah untuk pelanggan dengan mengetengahkan ‘How on issue an effective ITT/REP/RFQ’.

Katanya, sebagai pelanggan, proses menulis dan menghadapkan Invitation to Tender (ITT), Request for Proposal (RFP) dan Request for Quotation (RFQ) kepada pembekal adalah antara tugas yang menggentarkan yang boleh menyumbangkan kepada kegagalan projek sebelum ia bermula.

Gambar ramai Dr. Richard (tengah) bersama para peserta.
Gambar ramai Dr. Richard (tengah) bersama para peserta.

Oleh itu, bengkel dua hari berkenaan membantu pelanggan dalam menguasai penyediaan dan pengurusan tender sebagai satu cara untuk memastikan bahawa mereka mendapatkan kontrak pembekal ‘paling sesuai’ yang menawarkan tahap perkhidmatan terbaik dan nilai terbaik untuk organisasi mereka.

Sementara itu, bengkel kedua yang berlangsung dari 27 hingga hari ini pula menyentuh mengetengahkan mengenai ‘Tender and Bidding Skills Training’.

Dr. Richard Jenkins menjelaskan, sebagai pembida, tender merupakan satu keperluan bagi peluang perniagaan tetapi tanpa pendekatan, kemahiran dan pengetahuan yang betul, ia boleh berpotensi mematahkan semangat dan membahayakan sumber syarikat.

Bengkel kedua itu membantu pembida dalam penstrukturan paling meyakinkan, memenangi hujah dan untuk membolehkan mereka menyasarkan keperluan utama pelanggan; dengan tujuan untuk seterusnya meningkatkan kadar kejayaan mereka bagi memenangi lebih banyak kerja.