20 peserta Program JENESYS berlepas ke Jepun

20 peserta Program JENESYS berlepas ke Jepun

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Seramai 20 yang terdiri daripada 11 orang pelajar dan pelatih dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Institut Pendidikan Teknik Brunei (IBTE), serta sembilan orang ahli Persekutuan Peniaga-Peniaga Melayu Brunei (PPPMB), hari ini, berlepas ke Jepun bagi menyertai Program JENESYS 2016 yang akan berlangsung sehingga 4 Oktober.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat berlepas kepada rombongan berkenaan ialah Setiausaha Pertama, Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Tokuro Ambe bersama anggota keluarga dan rakan-rakan ahli rombongan berkenaan.

Menurut Tokuro, rombongan berkenaan merupakan yang kedua bagi Program JENESYS 2016.

Beliau berkata bahawa bagi program itu, Jepun akan memberikan peluang kepada lebih 250 orang belia Brunei iaitu yang berusia 35 tahun ke bawah untuk menyertai pelbagai program dengan hasrat untuk mempromosikan pertukaran penduduk di antara Jepun dan negara-negara yang menyertai.

Jelas beliau lagi, menerusi lawatan ke Jepun ini rombongan akan dapat membangunkan hubungan silaturahim, persahabatan, kesefahaman dan kerjasama dengan penduduk Jepun serta juga di antara satu sama yang lain.

Gambar ramai rombongan yang menyertai Program JENESYS sebelum berlepas ke Jepun.
Gambar ramai rombongan yang menyertai Program JENESYS sebelum berlepas ke Jepun.

Antara tempat-tempat yang akan dilawati sepanjang program berkenaan termasuk Pusat Teknologi Pertanian Fukushima di mana rombongan akan mempelajari mengenai proses pertanian yang selamat dan berguna.

Seterusnya, rombongan juga akan membuat lawatan ke Kampung Tenei, Wilayah Fukushima di mana mereka akan menimba pengalaman bagaimana memproses beras berkualiti.

Rombongan juga akan dibawa melawat kilang pemprosesan timun Jepun yang berkualiti di Kyurin-kan (Bandar Sukagawa, Wilayah Fukushima).

Dalam pada itu, Tokuro Ambe turut melahirkan harapan agar penyertaan dari Brunei itu dapat menyumbang ke arah memupuk warga tempatan yang berbakat sekali gus dapat menerajui usaha ke arah kepelbagaian ekonomi negara.

Dalam pada itu, rombongan berkenaan juga akan didedahkan kepada pelbagai keseniaan dan budaya masyarakat Jepun seperti tradisi kraf tangan (melukis patung Daruma) dan menuai padi.

Sesetengah peserta juga akan berpeluang menyertai program inap desa atau tinggal bersama keluarga angkat selama satu atau dua hari dan sesetengah peserta pula akan berpeluang untuk tinggal di kawasan ladang tempatan serta berpeluang berinteraksi dengan masyarakat setempat.

Menerusi program seperti ini, para peserta bukan sahaja akan dapat belajar mengenai sejarah dan budaya masyarakat Jepun malah mereka juga dapat melihat sendiri teknologi canggih yang digunakan dalam industri buatan di Jepun dan berjumpa dengan masyarakat Jepun yang ingin membina hubungan perniagaan dengan negara-negara peserta termasuk Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA