20 sertai bengkel visualisasi data

20 sertai bengkel visualisasi data

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jun – Seramai 20 orang pegawai kanan dari sektor-sektor awam dan swasta telah menghadiri Bengkel Visualisasi Data Secara Praktikal anjuran BAG Networks baru-baru ini untuk berkongsi ilmu dalam bidang Perisikan Perniagaan dan Analitik Data yang diadakan julung-julung kalinya di negara ini, di Taman Teknologi Anggerek Desa.

Antara yang menghadiri bengkel visualisasi data anjuran BAG Networks.
Antara yang menghadiri bengkel visualisasi data anjuran BAG Networks.

BAG Networks dalam kenyataannya hari ini berkata, bengkel tersebut dipimpin oleh seorang pakar teknologi, wakil dari rakan niaga antarabangsa BAG Networks dalam bidang visualisasi data. Pakar perunding teknikal BAG Networks, Chandana Athauda dan Yazid Azahari turut hadir membantu para peserta mengenali dan membiasakan diri dalam menggunakan peranti interaktif tersebut.

Melalui bengkel itu, para peserta dapat mereka panel kawalan data atau data dashboard dari awal; selain mencuba untuk menganalisis, menggambar dan berkongsi maklumat dengan pantas, serta menghasilkan keputusan yang sedia diterbitkan dengan serta merta.

Selain itu, peserta-peserta bengkel juga dapat mengalami sendiri betapa mudahnya fungsi ‘drag and drop’ dalam peranti ini, yang tidak memerlukan pengguna memiliki kemahiran teknikal, pengetahuan pengaturcaraan ataupun latihan khusus.

Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Korporat BAG Networks, Pengiran Amar-Rizamir bin Pengiran Haji Osman, berkata, pihaknya amat berbesar hati membawakan peranti visualisasi data ke Brunei dan menerima sambutan positif dari pelbagai organisasi.

“Kami berharap agar dapat menganjur sesi seperti ini lagi supaya lebih ramai pengguna dan pengurus data perniagaan boleh menimba ilmu dan memanfaatkan teknologi terkini dalam bidang perisikan perniagaan.”