20 trilion won rangsang ekonomi Korea Selatan

20 trilion won rangsang ekonomi Korea Selatan

SEOUL, 28 Jun (AFP) – Korea Selatan hari ini mengumumkan satu pakej perangsang ekonomi berjumlah 20 trilion won tatkala ia mengurangkan ramalan pertumbuhan 2016 disebabkan permintaan global yang lembap dan kesan sampingan daripada keputusan Britain yang mengejutkan untuk meninggal EU.

Kementerian kewangan mengubah sasaran pertumbuhannya untuk tahun ini kepada 2.8 peratus daripada 3.1 peratus, dan berkata ia akan menyediakan belanjawan tambahan sebanyak 10 trilion won untuk mewujudkan pekerjaan dan mengurangkan kesan penyusunan semula korporat berterusan ke atas industri merosot.

“Jumlah belanjawan tambahan ditentukan dengan mengambil kira faktor risiko berkurangan yang ditimbulkan oleh Brexit pada separuh tahun kedua tahun ini,” beritahu Lee Ho-Seung, pegawai kanan kementerian, kepada wartawan.

Sejumlah 10 trilion won tambahan akan diperuntukkan oleh dana awam dan pelaburan daripada institusi milik kerajaan, kata kementerian.

Krisis ekonomi global ekoran pengundian Britain pada Khamis untuk mening-galkan EU mungkin menjejas eksport dan pekerjaan dalam ekonomi keempat terbesar Asia, kata Rumah Biru dalam satu kenyataan.

Pembaharuan pimpinan kerajaan ke atas industri bermasalah, termasuk pembina kapal, telah membawa kepada pembuangan beribu-ribu pekerja.

Permintaan yang lembap di dalam dan luar negara juga telah memberi kesan besar ke atas eksport, yang menyumbang kepada kira-kira separuh daripada ekonomi negara dan telah merosot untuk 17 bulan berturut-turut.

Bank pusat Korea, yang memotong kadar faedahnya kepada 1.25 peratus pada bulan ini, telahpun mengurangkan prospek pertumbuhan 2016 kepada 2.8 peratus.

Ekonomi Selatan berkembang 2.6 peratus pada tahun lalu, yang paling rendah sejak 2012.