200 ditahan cetus kekacauan

TUNIS, 11 Jan – Lebih 200 orang diberkas dan berpuluh-puluh anggota polis tercedera ketika pertempuran di Tunisia, menurut kementerian dalam negeri semalam, ketika kemarahan ekoran langkah penjimatan yang mencetuskan kekacauan.

Negara Afrika Utara itu telah dipuji kerana peralihan demokrasi yang agak lancar sejak pemberontakan 2011 yang mencetuskan kebangkitan Arab, namun tujuh tahun selepas revolusi, ketegangan berhubung sungutan ekonomi semakin meningkat.

Tunisia telah menyaksikan kemarahan yang meningkat ekoran kenaikan dalam cukai nilai tambah dan sumbangan sosial selepas belanjawan baru yang tegas digunakan pada awal tahun ini.

Jurucakap kementerian dalam negeri, Khalifa Chibani memberitahu radio tempatan bahawa 49 orang pegawai polis tercedera ketika malam kedua pertempuran di seluruh negara kelmarin hingga semalam dan 206 orang ‘pengacau’ telah diberkas.

Harta benda rosak, ujarnya, termasuklah sebuah cawangan pasar raya Carrefour di pinggir bandar Tunis yang telah menjadi sasaran rompakan.

Seorang pegawai polis antirusuhan yang tercedera dipindahkan semasa bantahan antikerajaan di Tebourba, selatan ibu negara Tunisia, Tunis pada 9 Januari 2018. – AP

Selepas hari yang tenang semalam, penduduk berkata pada sebelah petang penunjuk perasaan keluar ke jalan-jalan di Tebourba, sebuah bandar di barat ibu negara Tunis di mana seorang lelaki berusia 40 tahun telah terbunuh akibat kekacauan malam Isnin lalu.

Semasa lawatan ke bandar berhampiran, Perdana Menteri Youssef Chahed menyelar tindakan ‘pemugut’ yang ‘menjadi boneka rangkaian korup untuk melemahkan negeri’ dengan menuding jari ke arah parti berhaluan kiri yang mengadakan bantahan itu.

Pertempuran baru meletus malam semalam di bandar utara Siliana, yang mana para pemuda melontar batu dan bom kaca ke arah pasukan keselamatan. Pihak polis bertindak balas dengan gas pemedih mata, menurut seorang wartawan AFP. – AFP