200 hektar di Beaufort masih terbakar

200 hektar di Beaufort masih terbakar

PUTRAJAYA, 5 April (Bernama) – Kawasan seluas 200 hektar di Hutan Simpan Binsuluk, Beaufort, Sabah masih terbakar, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata kawasan seluas 20 hektar di luar kawasan Hutan Simpan Klias di Beaufort juga dilaporkan masih terbakar.

Kawasan hutan di Kimanis/Bongawan dan Jalan Membakut/Bongawan yang sebelum ini mengalami kebakaran seluas 300 hektar, 200 hektar daripadanya berjaya dipadamkan kira-kira 80 peratus, katanya.

“Kebakaran di Hutan Simpan Padas Damit yang terbakar seluas 50 hektar sudah padam 100 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini berhubung status kebakaran hutan di Beaufort, Sabah.

Wan Junaidi berkata kebakaran tersebut berpunca daripada aktiviti pekebun kecil yang melakukan pembakaran secara terbuka yang merebak ke kawasan hutan simpan.

Berdasarkan siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada tahun ini sehingga semalam, sebanyak 1,047 kes pembakaran terbuka dikesan di seluruh negara iaitu pembakaran terbuka melibatkan kawasan hutan (147 kes), kawasan pertanian (298 kes), kawasan industri (lapan kes), tapak pembinaan (24 kes), tapak pelupusan sampah (46 kes), kawasan belukar (190 kes) dan lain-lain pembakaran terbuka kecil (334 kes), katanya.