200 jatuh sakit akibat gas toksik

200 jatuh sakit akibat gas toksik

CHITTAGONG, Bangladesh, 23 Ogos – Letupan di sebuah kilang baja kimia telah mengakibatkan kira-kira 200 orang memerlukan rawatan perubatan selepas gas bertoksik tersebar di seluruh kawasan besar di bandar kedua Bangladesh, Chittagong, menurut para pegawai hari ini.

Para pegawai polis dan bomba berkata beratus-ratus orang penduduk juga dipindahkan dari rumah mereka berhampiran kilang diammonia phosphate (DAP) di bandar pelabuhan yang mana tangki ammonia berkapasiti 500 tan meletup lewat semalam.

Mesbah Uddin, ketua pentadbir daerah, berkata 56 orang telah dimasukkan ke hospital Kolej Perubatan Chittagong selepas berlaku kebocoran gas, dan tidak seorang pun daripada mereka itu dalam keadaan kritikal.

“Lapan orang telah dibenarkan keluar hospital. Empat puluh lapan orang lagi masih dirawat di hospital hari ini tetapi mereka tidak dalam bahaya.”

“Kira-kira 150 orang telah diberikan pertolongan cemas di tempat ini,” tambahnya.

Antara penduduk Bangladesh yang terjejas berikutan letupan gas toksik di sebuah kilang kimia di Chittagong pada 23 Ogos. – AFP
Antara penduduk Bangladesh yang terjejas berikutan letupan gas toksik di sebuah kilang kimia di Chittagong pada 23 Ogos. – AFP

Para anggota bomba berusaha sepanjang malam untuk menghentikan kebocoran dan akhirnya pada waktu pagi mengumumkan situasi telah dapat dikawal.

“Kami menggunakan alat pembesar suara untuk menggesa orang ramai supaya meninggalkan kawasan itu. Beratus-ratus orang pekerja dari kilang-kilang berhampiran juga diarah meninggalkan premis mereka.

Pegawai-pegawai lain berkata angin kencang telah meniup gas toksik ke lingkungan sejauh 10 kilometer dan terdapat laporan orang yang jatuh sakit di lapangan terbang antarabangsa bandar selatan.

Pihak berkuasa mengerahkan pasukan khas seramai kira-kira 60 orang anggota bomba selepas letupan itu yang mencetuskan kepanikan dalam kalangan mereka yang tinggal berhampiran. – AFP