200 pelajar STPRI hadiri taklimat kenegaraan

200 pelajar STPRI hadiri taklimat kenegaraan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Julai – Jabatan Penerangan telah meneruskan lagi usahanya dalam menyemai semangat patriotisme penuntut untuk menghormati serta menjiwai lagu kebangsaan dan bendera negara dengan mengadakan taklimat kenegaraan, kali ini di Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI).

Taklimat ‘Menghayati Lagu Kebangsaan dan Bendera Negara’ anjuran Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Jabatan Penerangan yang berlangsung di Dewan STPRI itu dihadiri kira-kira 200 pelajar Tahun 8 sekolah berkenaan.

Pada taklimat itu, Pegawai Penerangan, Dayangku Nasibahanim binti Pengiran Haji Bakar semasa ditemui menjelaskan, melalui taklimat yang telah dianjurkan oleh unit berkenaan, ia telah mencapai respons yang baik di mana orang ramai mula memahami penghayatan bendera negara.

Taklimat seumpama ini, katanya, pernah diadakan di sekolah rendah dan kini ia dilaratkan ke sekolah-sekolah menengah.

Antara pelajar Tahun 8 STPRI yang menghadiri taklimat.
Antara pelajar Tahun 8 STPRI yang menghadiri taklimat.
Hajah Susilawati dan Dayangku Nasibahanim semasa taklimat tersebut.
Hajah Susilawati dan Dayangku Nasibahanim semasa taklimat tersebut.

Menurutnya lagi, bendera negara bukan sekadar kain saja tapi ia melambangkan jati diri sebagai rakyat untuk menjaga bendera negara dari segi kebersihan, warna dan bentuknya.

Pada sesi taklimat itu, beliau turut menyentuh mengenai tatacara menaik kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan negara ‘Allah Peliharakan Sultan’ dengan lebih terperinci.

Selain berpeluang mende-ngarkan taklimat itu, para pelajar juga menyaksikan tayangan klip video mengenai ‘Kibarkanlah dengan Megah Bendera Negara’ dan video animasi mengenai ‘Tatacara Mengibarkan Bendera’ seterusnya berpeluang menyertai kuiz kenegaraan yang dikendalikan oleh Pegawai Luar Penerangan, Pengiran Emran bin Pengiran Haji Salleh.

Turut hadir pada sesi taklimat itu ialah Pengetua STPRI, Hajah Susilawati binti DP Haji Muhammad.

ARTIKEL YANG SAMA