200 pelatih PPB terima sijil

200 pelatih PPB terima sijil

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Sept – Seramai 200 orang pelatih telah berjaya menamatkan latihan di Pusat Pembangunan Belia (PPB) dan menerima sijil masing-masing dalam majlis yang berlangsung di Dewan Binadiri, PPB, di sini, hari ini.

Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sijil ialah Pemangku Pengarah Bahagian Perkembangan Belia dan Sukan, Awang Rosmadee bin Haji Mohd Daud yang turut menyampaikan hadiah kepada pelatih-pelatih terbaik.

Daripada jumlah pelatih berkenaan, seramai 126 daripadanya mengikuti Program Pembangunan Belia iaitu 33 daripada Kursus Teknologi Informasi dan Komunikasi, 21 daripada Kursus Seni Kulinari dan Bankuet, 20 mengikuti Kursus Pastri dan Konfeksionari, lima mengikuti Kursus Teknologi Rekaan Fesyen, tiga daripada Kursus Terapi Kecantikan, 13 daripada Kursus Kimpalan dan Fabrikasi, 12 daripada Kursus Baik Pulih Badan Kenderaan, 10 orang daripada Kursus Pemasangan Paip Air Domestik dan sembilan lagi mengikuti Kursus Penghawa Dingin dan Pendinginan.

Manakala itu, seramai 74 orang adalah daripada Program Jangka Pendek, dengan 12 orang menerima sijil bagi Kursus Hikmah ITC, 13 orang bagi Kursus AutoCad (Mac-Mei 2014), 10 orang bagi Kursus AutoCad (Jun-September 2015), 11 orang daripada Kursus AutoCad (November 2014-Januari 2015), 11 orang daripada Kursus AutoCad KB (September 2014-Jun 2015) dan 15 orang lagi bagi Program Asy-Syifa.

Pengerusi majlis, Pemangku Penolong Pengarah PPB, Awang Haswandi bin Haji Osman dalam ucapan alu-aluannya berkata, pada tahun ini, enam orang pelatih daripada Program Pembangunan Belia dan Program Jangka Pendek telah menunjukkan pencapaian dan kecemerlangan sepanjang kursus terpilih dan menerima hadiah Pelatih Terbaik dalam Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan, Program Pembangunan Diri dan Program Penempatan Kerja.

Tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada salah seorang pelatih yang berjaya menamatkan kursus di PPB.
Tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada salah seorang pelatih yang berjaya menamatkan kursus di PPB.
Salah seorang pelatih terbaik menerima sijil dan hadiah daripada tetamu kehormat.
Salah seorang pelatih terbaik menerima sijil dan hadiah daripada tetamu kehormat.

“Kriteria pemilihan adalah berdasarkan kepada pencapaian pembelajaran dan disiplin sepanjang mengikuti kursus dan perkembangan terkini mereka setelah menamatkan program yang diikuti.”

Beliau berkata, dua daripada enam orang pelatih berkenaan tersenarai dan dinobatkan untuk menerima hadiah pelatih terbaik keseluruhan Program Pembangunan Belia sesi 2014-2015 dan hadiah pelatih terbaik keseluruhan Program Jangka Pendek sesi 2014-2015 iaitu bagi pelatih-pelatih yang telah menunjukkan pencapaian dan kecemerlangan secara keseluruhan yang boleh dijadikan sebagai ‘role model’ bukan sahaja kepada para lepasan pelatih akan tetapi juga kepada para pelatih yang masih lagi mengikuti kursus pada masa ini dan di masa akan datang.

Beliau berharap, dengan pemberian hadiah pelatih terbaik ini akan dapat dijadikan sebagai motivasi dan pembakar semangat kepada para lepasan pelatih dan para pelatih yang masih mengikuti program agar akan lebih bekerja keras dan berusaha dengan lebih gigih lagi di masa hadapan demi mencapai hasrat dan impian menjadi belia yang berguna bukan sahaja kepada negara akan tetapi juga kepada bangsa dan agama.

Penerima hadiah pelatih terbaik untuk Program Pembangunan Belia bagi kategori Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan ialah Dayang Siti Musfirazatul@ Musfira binti Mohammad; kategori Program Pembangunan Diri ialah Awang Ilyas bin Abdul Wahab; dan kategori Program Penempatan Kerja dimenangi oleh Awang Za’im Arif bin Haji Zamain.

Awang Ilyas berkata sepanjang menjalani latihan di PPB, beliau telah banyak menimba ilmu berfaedah.
Awang Ilyas berkata sepanjang menjalani latihan di PPB, beliau telah banyak menimba ilmu berfaedah.

Sementara itu, untuk Program Jangka Pendek, penerima hadiah bagi kategori Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan serta kategori Program Pembangunan Diri ialah Awang Mohd Yudhy@Danny bin Haji Jumat, manakala itu, bagi kategori Program Penempatan Kerja dimenangi oleh Dayang Nur Afnizan Nazurah binti Anizam.

Awang Ilyas dan Awang Mohd Yudhy@Danny masing-masing turut dinobatkan sebagai pelatih terbaik keseluruhan bagi Program Pembangunan Belia dan Program Jangka Pendek.

Ketika ditemui Media Permata, Awang Ilyas berkata, dengan adanya kursus ini dan dinobatkan sebagai pelatih terbaik keseluruhan, beliau berharap akan dapat memasuki pusat teknikal di negara ini dengan lebih mudah.

Menurutnya lagi, sepanjang mengikuti kursus berkenaan, beliau telah menimba banyak ilmu dan kemahiran, akan tetapi ilmu ini tidak akan berhenti di sini dan akan meneruskannya lagi ke tahap lebih tinggi.

Beliau turut menyuarakan harapan agar para belia yang sedang menganggur dan masih belum bekerja untuk memasuki PPB di mana mereka akan mendapatkan ilmu dan kemahiran yang akan dapat membantu mendapat pekerjaan yang lebih sempurna dan lebih baik.

Manakala itu, Dayang Siti Musfirazatul@ Musfira binti Mohammad pula menyatakan perasaan gembira kerana berjaya menamatkan latihan di pusat berkenaan.

“Sepanjang menjalani kursus selama sembilan bulan dan penempatan pekerjaan di syarikat swasta selama enam bulan akhirnya membuahkan hasil,” ujarnya.

Beliau juga berkata, selama menjalani kursus di pusat berkenaan, persaingan di antara pelatih-pelatih lain memang ada, “Alhamdulillah pengalaman sukar dan senang dapat dilalui dengan baik dan sempurna”.

ARTIKEL YANG SAMA