200 sekolah pondok majukan pendidikan Islam

200 sekolah pondok majukan pendidikan Islam

KUALA LUMPUR, 14 Feb Hampir 200 sekolah pondok di selatan Thailand khususnya di wilayah Pattani masih aktif mengekalkan pengajian pendidikan agama Islam bagi meneruskan usaha melahirkan ulama ulung dari negara itu.

Mudir Pondok Dala, Daerah Yaring di wilayah Pattani, Tuan Guru Abdul Karim Hasbullah berkata sekolah pondok merupakan institusi terpenting bagi penduduk Pattani mendalami ilmu pendidikan Islam sejak lebih 80 tahun.

“Institusi pengajian agama di wilayah Pattani sudah lebih 80 tahun berjaya menghasilkan pelajar agama yang menghayati kitab-kitab para ulama dari tanah suci Makkah, termasuk pondok yang paling lama iaitu Pondok Dala,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi dari sini.

Abdul Karim berkata Pondok Dala melahirkan ramai tokoh ulama yang berperanan mengangkat martabat masyarakat Melayu Islam Pattani termasuk Tuan Guru Abdul Aziz yang kini memegang jawatan sebagai Mudir Pondok Padang Pusu, wilayah Pattani, sebuah sekolah pondok yang mempunyai kira-kira 500 pelajar.

Beliau berkata Pondok Dala dibina pada tahun 1933 oleh Tuan Guru Abdul Rahman Mohd Irsyad, murid kepada ulama besar Fathoni di Makkah, Syeikh Daud Wan Mustafa dan Syeikh Wan Ismail Wan Abdul Qadir.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (baju kuning, tengah) dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan bergambar kenangan bersama pelajar sekolah projek Diraja Thailand ‘Pracha Nugroh 40 Pattani’ ketika melawat sekolah itu semalam. – Bernama
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (baju kuning, tengah) dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan bergambar kenangan bersama pelajar sekolah projek Diraja Thailand ‘Pracha Nugroh 40 Pattani’ ketika melawat sekolah itu semalam. – Bernama

Selain itu, katanya ramai orang Pattani yang mendalami ilmu agama di Mekah membuka pondok pengajian di bandar itu sehinggalah ia dikenali sebagai ‘Tanah Serambi Makkah’ yang mempunyai ramai ulama dari tanah suci.

“Ini sekali gus, berjaya menarik kunjungan ramai orang Islam untuk mencari ilmu agama menetap di Thailand termasuk warga Malaysia, Indonesia dan Kemboja,” katanya.

Seorang pelajar Pondok Dala, Syokri Abdulmajid, 21, yang berasal dari Kemboja berkata ramai pelajar dari Kemboja yang tamat pengajian di negara ini berjaya menjadi guru agama.

“Saya sangat bersyukur kerana dapat menuntut ilmu agama dengan para guru yang alim dan terkenal di Pattani dan di sini saya juga bukan sahaja mendapat ilmu agama dan pengalaman baharu, malah dapat menguasai Bahasa Melayu dan Bahasa Thai sekali gus,” katanya kepada Bernama.

Antara mata pelajaran yang diajar di pondok adalah al-Quran, Tafsir al-Quran, Hadis, Tauhid, Fiqah, Tasauf, Nahu, Sorof, Tajwid, Usul Tafsir, Usul Hadis, Usul Fiqh, Faraid dan Balaghah.

Bermula 9 Mei 2004, kerajaan Thailand memaklumkan semua sekolah pondok di tiga wilayah sempadan di selatan Thailand, iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat perlu mendaftar di bawah naungan Kementerian Pendidikan bagi memudahkan kerajaan memberi bantuan dan dana setiap tahun. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA