200 terima pemberian TYT Sarawak

KUCHING, 10 Sept — Sebanyak 200 orang daripada 11 pertubuhan hari ini menerima pemberian daripada Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Haji Abdul Taib Mahmud pada majlis jamuan teh di Waterfront Hotel di sini yang diadakan bersempena ulang tahun kelahiran  beliau ke-81 dan ulang tahun keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Mereka adalah dari Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching, Rumah Seri Kenangan Kuching, Rumah Seri Kenangan Sibu, Pusat Pemulihan Samarahan, Rumah Kanak-kanak Toh Puan Hajah Norkiah Kuching, Rumah Kanak-kanak Datuk Ajibah Abol Sri Aman, Sekolah Tunas Bakti Kuching, Desa Bina Diri Kuching, Asrama Akhlak dan Bengkel Seri Sarawak.

Setiap penerima mendapat RM150 dan hamper bernilai RM100. Pada majlis itu, Taib memotong pulut kuning bersama-sama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. Beliau kemudian merasmikan Pameran Dirgahayu dan Raja Kita di pusat beli-belah berhampiran, Merdeka Plaza.

Turut hadir, isteri Ketua Menteri, Datin Amar Datuk Juma’aini Tuanku Bujang dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan. – Bernama

Tun Haji Abdul Taib Mahmud (dua, kanan) melihat pameran Dirgahayu sempena sambutan Hari Jadi beliau ke-81 dan Pameran Raja Kita sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, kelmarin. – Bernama