2,000 pelarian dipindahkan dari kem Idomeni

2,000 pelarian dipindahkan dari kem Idomeni

IDOMENI, Greek, 25 Mei – Fasa pertama pembersihan di kem pelarian di Idomeni yang bersempadan dengan Macedonia berjalan lancar, menurut pegawai rasmi Greek lapor agensi berita China Xinhua.

Menurut kenyataan Kementerian Ketenteraman Awam, seramai 2,031 pelarian dan migran telah dipindahkan dari kem pelarian itu ke sebuah tempat yang menyediakan kemudahan untuk pelarian di bahagian utara Greek dengan menggunakan 42 buah bas.

Wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bertugas di kem pelarian berkenaan memberitahu Xinhua, tiada sebarang insiden keganasan dilaporkan sepanjang proses pemindahan dilakukan.

“Tiada sebarang unsur paksaan atau operasi ketenteraan akan dilakukan semasa proses memindahkan pelarian ke pusat yang lebih terurus,” kata jurucakap Jawatankuasa Penyelaras Pelarian Yorgos Kyritsis.

Operasi yang dijalankan dengan kawalan keselamatan yang ketat itu akan disambung pada Rabu dan hari berikutnya.

Seorang kanak-kanak perempuan melihat pasukan polis memindahkan khemah di kem pelarian di antara Greece dan Macedonia dekat Indomeni, kelmarin. – AFP
Seorang kanak-kanak perempuan melihat pasukan polis memindahkan khemah di kem pelarian di antara Greece dan Macedonia dekat Indomeni, kelmarin. – AFP

Seramai 1,400 anggota polis ditugaskan untuk proses itu dan kebanyakan sukarelawan serta media tidak dibenarkan berada di kem pelarian yang akan ditutup itu.

Hanya agensi berita nasional Greek (AMNA) dan stesen penyiar ERT yang dibenarkan membuat liputan mengenai proses pembersihan kem berkenaan.

Sehingga Selasa 8,400 orang berjaya dipindahkan dari kem yang dipenuhi dengan lumpur tanpa makanan dan bantuan kemudahan rawatan oleh NGO yang mencukupi.

Jumlah itu adalah daripada 54,000 orang yang terkandas di Greek sejak pertengahan Febuari selepas penutupan sempadan di sepanjang Balkan untuk ke Eropah tengah.

Setakat ini kebanyakan pelarian berkeras untuk tinggal berhampiran dengan sempadan tersebut dengan harapan ia akan dibuka semula.

Menurut pegawai rasmi Greek bagaimanapun, semakin ramai mula menyedari berpindah ke penempatan yang lebih selesa merupakan pilihan terbaik buat mereka. – Bernama