2014 tahun cemerlang BIBD

2014 tahun cemerlang BIBD

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Nov – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) mencatatkan kenaikan keuntungan selepas zakat dan cukai peringkat Bank sebanyak 40.5 peratus kepada $83.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, berbanding $59.7 juta pada tahun sebelumnya.

Di peringkat Kumpulan, keuntungan sebelum cukai dan zakat meningkat sebanyak 17.9 peratus kepada $111.5 juta berbanding $94.6 juta pada tahun sebelumnya. BIBD juga turut mencatatkan pertumbuhan dua angka dari segi jumlah aset di peringkat Kumpulan dan Bank. Jumlah aset peringkat Kumpulan meningkat sebanyak 18.4 peratus kepada $7.7 bilion manakala di peringkat Bank, meningkat 19.8 peratus kepada $7.3 bilion.

Ini dinyatakan oleh Pengarah Urusan BIBD Javed Ahmad semasa membentangkan Laporan Tahunan bagi 2014 pada Mesyuarat Agung Tahunan BIBD yang berlangsung di Dewan Tarindak, Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei di ibu negara.

Mesyuarat agung tersebut dipengerusikan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BIBD. Juga hadir Pengerusi Badan Penasihat Syariah BIBD, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin, ahli-ahli Lembaga Pengarah BIBD yang lain, Dato Paduka Iqbal Ahmad Khan serta ahli-ahli Badan Penasihat Syariah, pegawai dan kakitangan BIBD serta para pemegang saham BIBD.

Mesyuarat Agung hari ini meluluskan Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2014 dan seterusnya mengumumkan dividen 5.7 sen bagi setiap saham yang kemudiannya disusuli dengan pelantikan dan penetapan yuran Juruaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.

(Dari kanan) Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin, Javed Ahmad dan Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Suhaili semasa Mesyuarat Agung BIBD kelmarin.
(Dari kanan) Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin, Javed Ahmad dan Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Suhaili semasa Mesyuarat Agung BIBD kelmarin.

Javed Ahmad dalam laporannya berkata, tahun 2014 merupakan tahun yang cemerlang bagi keuntungan selepas zakat dan cukai BIBD, dengan memperlihatkan kenaikan 17.9 peratus bagi Kumpulan BIBD dan 40.5 peratus bagi Bank.

“Walaupun 2014 merupakan tahun di mana BIBD telah melalui beberapa cabaran dari segi ekonomi makro, namun BIBD berjaya menunjukkan prestasi yang sangat baik,” ujarnya.

“Pelancaran semula Perdana Privilege Banking yang menyediakan perkhidmatan peribadi, keselesaan, pengurus perhubungan yang khas dalam suasana ruangan yang mewah dan baru.

“Ahli Perdana juga disediakan dengan beberapa keistimewaan unggul seperti keahlian pas keutamaan yang menyediakan akses kepada lebih 600 ruangan lapangan terbang di seluruh dunia,” jelas Javed.

Beliau turut menyentuh mengenai kejayaan BIBD melahirkan 50 kakitangan yang berjaya mengikuti program pengiktirafan Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia, Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Program Pembelajaran Risiko Kredit Korporat dari Fitch Learning sebagai usaha BIBD memperlengkapkan kakitangan BIBD dengan kepakaran yang diperlukan untuk menyediakan penyelesaian kewangan Islam yang terbaik.

Menurutnya lagi, BIBD juga melalui tahun yang cemerlang bagi Tanggungjawab Sosial Korporatnya dengan usaha-usaha yang dijalankan, seperti penandatanganan kumpulan pertama penuntut-penuntut di bawah Program ALAF (Skim Galakan Pembelajaran Sepanjang Hayat).

“Program ALAF menyediakan penuntut yang terpilih dengan peruntukan bagi yuran sekolah dan tuisyen, bahan-bahan pendidikan dan kebajikan, serta bimbingan dan kaunseling.”

ARTIKEL YANG SAMA