2015 berlalu, PRN Sarawak penuh debaran

2015 berlalu, PRN Sarawak penuh debaran

KUCHING, 30 Dis – Tahun 2015 bakal melabuhkan tirainya, dengan penduduk di Sarawak terus ternanti-nantikan detik untuk kembali ke peti undi bagi menunaikan tanggungjawab dalam memilih wakil rakyat untuk menerajui negeri ini.

Dari aspek politik sepanjang tahun 2015, segala-galanya di Bumi Kenyalang ini berkisar kepada susun atur gerak langkah Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, dalam membawa corak kepimpinan baharu dengan gaya sendiri, selepas mengambil alih daripada Tun Abdul Taib Mahmud yang menerajui Sarawak lebih 30 tahun.

Tahun ini turut menyaksikan krisis tidak berkesudahan dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), sehingga melahirkan parti serpihan, Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Keadaan serupa turut berlaku dalam satu lagi parti komponen BN Sarawak, Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sehingga menyaksikan penubuhan parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras).

Pada persidangan media sejurus selepas persidangan Dewan Undangan Negeri berakhir baru-baru ini, Adenan berkata sekiranya tiada kompromi dicapai antara parti yang berkenaan, beliau sendiri akan membuat keputusan muktamad mengenai pembahagian kerusi sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).

Tempoh penggal Dewan Undangan Negeri Sarawak berakhir pada bulan Jun 2016. Boleh dikatakan perkembangan menarik dalam persekitaran politik negeri tahun ini merujuk kepada dua perhimpunan yang ‘agak kontroversi’, yakni perhimpunan ‘722 Sarawak Freedom and Independence Day Walk’ di Padang Jubilee pada 22 Julai, dan perhimpunan Bersih 4 Kuching di padang Song Kheng Hai pada 29 Ogos.

Perhimpunan anjuran Sarawak Dayak Iban Association (Sadia) dan Sarawak for Sarawak (S4S) Team itu, yang dilapor diadakan bagi meraikan tarikh kemerdekaan Sarawak daripada pemerintahan British pada 22 Julai 1963.

Penganalisis politik memerhati dengan penuh minat bagaimana Adenan menangani kedua-dua peristiwa itu dengan berhati-hati, agar sokongan ramai terhadap BN tidak terjejas dengan isu ini; apatah lagi ketika PRN semakin hampir.

Rata-rata dilihat berpuas hati dengan kebijaksanaan ketua menteri mengatur strategi, apabila kedua-dua perhimpunan dibenarkan; dan hasilnya tiada rusuhan, tiada tangkapan, dan tiada kecaman hebat terhadap kerajaan negeri dilaungkan. – Bernama