2015 satu masa yang sukar – Lee Chong Wei

2015 satu masa yang sukar – Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR, 1 Jan (BH) – Jaguh perseorangan Malaysia, Lee Chong Wei menyifatkan tahun 2015 adalah tempoh paling sukar sepanjang kerjayanya dalam usaha kembali bangkit selepas terbabit dengan kes doping.

Namun, dia berasa bertuah kerana mempunyai isteri, Wong Mew Choo yang sentiasa berada di belakangnya memberikan sokongan.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berharap kalendar 2016 yang membuka tirainya, hari ini bakal membawa tuah buat dirinya terutama dalam persiapan menghadapi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

“Enam bulan pertama untuk 2015 sangat mencabar untuk saya kerana berdepan dengan kes doping dan enam bulan selepas itu saya perlu bekerja keras untuk kembali bangkit bagi melonjakkan kedudukan ranking dunia saya yang jatuh ke-183.

“Sebenarnya, apa yang saya lalui sepanjang 2015 memberikan pengajaran berguna untuk diri saya kerana sebelum ini saya sentiasa berada di atas dan tidak pernah belajar. Ia jelas mengajar saya untuk mempunyai kekuatan mental bagi menghadapi segala cabaran.

Lee Chong Wei menyifatkan tahun 2015 adalah tempoh paling sukar sepanjang kerjayanya apabila terbabit dengan kes doping. – Reuters
Lee Chong Wei menyifatkan tahun 2015 adalah tempoh paling sukar sepanjang kerjayanya apabila terbabit dengan kes doping. – Reuters

“Kali pertama saya kembali beraksi dalam kejohanan terbuka selepas penggantungan kes doping pada Grand Prix Emas Amerika Syarikat, saya merasakan ia cukup sukar untuk kembali pada tahap prestasi terbaik dan memperbaiki ranking dunia saya. Namun, saya lega menamatkan tahun 2015 di kedudukan ke-15 dunia.

“Saya berterima kasih kepada keluarga terutama isteri yang sentiasa berada di belakang saya. Tidak dilupakan juga Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Pengurus Besar BAM, Kenny Goh serta ahli majlis dan pegawai BAM yang lain kerana banyak membantu saya,” kata Chong Wei.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 di Beijing dan 2012 di London itu, berkata dia kini sudah mencapai 85 peratus tahap prestasi terbaiknya dan perlu bekerja keras untuk mencari lagi 15 peratus bagi benar-benar bersedia sebelum menghadapi temasya di Rio.

“Sekarang saya sudah di tahap 85 peratus, bukan 100 peratus lagi. Saya harap baki 15 peratus lagi boleh diraih menjelang Olimpik Rio.

“Saya tidak kisah keputusan di sana nanti tetapi paling penting kita buat persiapan yang terbaik,” katanya yang turut mengharapkan lebih ramai pemain negara akan layak ke Rio biarpun masa semakin singkat dengan tarikh tutup kelayakan berakhir, Mei depan.

ARTIKEL YANG SAMA