2015 tahun suram bagi Ringgit M’sia

2015 tahun suram bagi Ringgit M’sia

MALAYSIA-ASIA-FINANCE-FOREX

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) – Tahun 2015 ternyata bukanlah tempoh yang menyebelahi ringgit Malaysia apabila ia dijejaskan kelemahan sentimen pelabur serta faktor luaran dan dalaman, termasuk harga komoditi yang rendah serta prestasi ekonomi global yang suram.

Malah, unit tempatan itu turut diasak tempias jangkaan berpanjangan mengenai kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) serta kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi China yang hanya melemahkan lagi sentimen pelabur terhadap pasaran sedang pesat membangun.

Ketua Penganalisis Pasaran ForexTime (FXTM) Ltd, Jameel Ahmad, berkata andaian yang diketengahkan adalah ringgit menerima tamparan hebat tahun ini dengan faktor luaran menjadi sebahagian besar faktor penyusutannya.

“Biarpun dalam keadaan tertentu pandangan ini ada benarnya, namun kalangan pemerhati perlu maklum bahawa faktor lain seperti kelembapan pertumbuhan ekonomi dan kemungkinan skandal pelaburan kerajaan (merujuk syarikat pelaburan strategik 1MDB atau 1Malaysia Development Bhd) turut memberi tekanan terhadap ringgit,” katanya kepada Bernama.

Ringgit memulakan alirannya pada awal tahun ini pada 3.5075/5059 berbanding dolar AS pada 2 Januari lepas, sebelum susut sepanjang tahun ini sehingga mencecah paras melebihi 4.00 berbanding dolar pada pertengahan Ogos lepas.

Berikutan kebimbangan mengenai penyusutan ringgit, kerajaan bertindak memantau semua aktiviti kontrak hadapan yang tidak diserah (NDF) di luar Malaysia termasuk NDF di Singapura, seperti dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar pada 1 September lepas.

Di sebalik dakwaan bahawa ringgit muncul mata wang negara sedang pesat membangun Asia yang paling teruk prestasinya tahun ini apabila mencatatkan penyusutan 20 peratus berbanding dolar, kerajaan serta kalangan pakar ekonomi sebaliknya berpendapat bahawa unit itu sebenarnya dinilai lebih rendah sedangkan Malaysia memiliki asas-asas yang kukuh.

Malah, itulah yang turut ditegaskan Abdul Wahid. ‘Bagi ringgit, apa yang kita perlu lakukan ialah memastikan kita berpegang kekal kepada asas-asas selain mengkaji semula pilihan dasar lain yang ada.

“Pada akhirnya, nilai ringgit akan mencerminkan asasnya,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA