2016 tahun penting ASEAN

2016 tahun penting ASEAN

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Menteri-menteri ASEAN yang bersidang sependapat bahawa 2016 merupakan tahun yang penting bagi ASEAN termasuk sektor kebudayaan dan kesenian di mana dengan penubuhan rasmi Komuniti ASEAN pada 31 Disember 2015, ia membuka ruang baru bagi kebudayaan dan kesenian memainkan peranannya dalam meningkatkan kesedaran ASEAN, membina rasa komuniti, menyatupadukan ASEAN dengan satu identiti serta masa depan yang cerah bersama.

Di samping itu, menteri-menteri yang bersidang turut mengalu-alukan pengisytiharan Bandar Seri Begawan sebagai Bandar Kebudayaan ASEAN bagi tempoh 2016 hingga 2018 di mana ia merupakan bandar keempat di ASEAN yang dipilih untuk menjadi Bandar Kebudayaan ASEAN.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof semasa Sidang Media bagi Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN yang Bertanggungjawab bagi Kebudayaan dan Kesenian (AMCA) ke-7 yang berlangsung di Galeri Seni, Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Beliau berkata lagi, bagi menandakan signifikan penghormatan yang diberikan kepada Bandar Seri Begawan, ia telah mengadakan Pesta Kesenian ASEAN bermula kelmarin hingga esok (26 Ogos) yang disertai oleh artis dan penghibur dari kesemua negara ASEAN dan rakan dialog.

Acara itu merupakan salah satu kaedah yang baik bagi ASEAN untuk menggunakan kebudayaan dan kesenian untuk lebih memahami warisan serta tradisi rantau ini, untuk mempromosikan kepelbagaian budaya dan dialog antara budaya serta untuk mengukuhkan lagi kefahaman bersama dan memupuk persahabatan yang kekal dalam kalangan rakyat ASEAN dengan rakan-rakan dialognya.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bersama Sekretariat ASEAN selepas sidang media berkenaan.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bersama Sekretariat ASEAN selepas sidang media berkenaan.

Yang Berhormat Pehin berkata bahawa menteri-menteri yang bersidang mengambil maklum mengenai perkembangan dan mercu tanda yang telah dicapai yang berhubung dengan kebudayaan dan kesenian termasuk pertukaran di antara penduduk menerusi pelaksanaan Pelan Jalan bagi Komuniti ASEAN 2009-2015 termasuk Pelan Tindakan Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) 2025.

Para menteri juga menyatakan komitmen mereka bagi pelaksanaan efektif, Visi Komuniti ASEAN 2025: Maju Ke Hadapan Bersama dan tiga buah pelan tindakan baru yang menyatakan hala tuju masa hadapan bagi sebuah Komuniti ASEAN yang bersatu padu dan berintegrasi dari segi politik, ekonomi, sosial serta yang benar-benar berasaskan dan berpandukan kepada penduduk ASEAN.

Pada masa yang sama, untuk memberikan panduan kepada kerjasama ASEAN dalam bidang kebudayaan dan kesenian, menteri-menteri yang bersidang turut mempertimbangkan dan bersetuju mengangkat Pelan Strategik bagi Kebudayaan dan Kesenian 2016-2025 yang merupakan dokumen panduan bagi tempoh 10 tahun yang digunakan untuk merangka pelan kerja dalam bidang kesenian dan kebudayaan.

Pelan strategik itu juga akan menggalakkan penggunaan budaya dan seni sebagai alat pendidikan untuk menangani isu-isu sosial supaya dapat merapatkan lagi semua penduduk ASEAN.

Menteri-menteri yang bersidang juga menyatakan sokongan mereka bagi pelaksanaan sebuah pendekatan yang lebih bersepadu dan mekanisme yang selaras menerusi pendidikan, penglibatan belia, kesukarelawanan budaya dan program pendekatan untuk menangani isu-isu merentas sektor seperti kesedaran kebudayaan dan sensitiviti kepada latar belakang negara-negara anggota ASEAN yang berbeza.

Semua perkara itu, nyata Yang Berhormat Pehin, adalah amat penting bagi mengukuhkan lagi asas komunikasi, keupayaan untuk lebih memahami nilai-nilai kebudayaan, kepercayaan, persepsi serta toleransi sebagai cara untuk maju ke hadapan bagi membangun sebuah Komuniti ASEAN yang harmoni dan makmur.

Menteri-menteri yang bersidang juga bersetuju untuk menerima Deklarasi Bandar Seri Begawan bagi Kebudayaan dan Kesenian untuk mempromosikan Identiti ASEAN ke arah sebuah Komuniti ASEAN yang dinamik dan harmoni dengan menumpukan kebudayaan dan kesenian bagi identiti, perpaduan sosial dan kejayaan ekonomi ASEAN.

Pada masa yang sama, Yang Berhormat Pehin juga menyatakan bahawa menteri-menteri yang bersidang turut bertukar-tukar pendapat bagi persediaan sambutan ulang tahun penubuhan ASEAN ke-50 pada 8 Ogos 2017.

ARTIKEL YANG SAMA