2016 tempoh mencabar APAC

2016 tempoh mencabar APAC

BEIJING, 16 Dis (Bernama) – Sektor perbankan di rantau Asia Pasifik (APAC) dijangka berdepan tempoh lebih mencabar tahun depan dalam situasi sistem kewangan sedang menyesuaikan diri kepada pertumbuhan perlahan di China dan prospek kenaikan kadar faedah AS, demikian menurut Laporan Prospek 2016 Fitch Ratings.

Agensi penarafan itu berkata pendapatan dan penampan modal yang dibina dalam tahun-tahun kebelakangan ini bermakna kebanyakan sistem perbankan bermula daripada kedudukan kukuh menuju ke keadaan ekonomi lemah ini.

Pengecualian bagi pasaran besar seperti China dan India, dan pasaran belum pesat membangun seperti Mongolia dan Vietnam, walaupun prospek bagi bank-bank di India dan Vietnam diimbangi oleh persekitaran ekonomi lebih menggalakkan.

Fitch berkata bagi tahun depan ia mempunyai pengkadaran sistem perbankan yang lebih tinggi dalam prospek sektor negatif berbanding pada 2015.

Ini berikutan prospek penurunan kualiti aset, minat risiko lebih berhati-hati daripada kebanyakan bank telah menyumbang kepada pertumbuhan kredit lemah, dan tekanan margin, yang kesemuanya dijangka membawa kepada pertumbuhan keuntungan perlahan.

Fitch melihat pertumbuhan kredit rendah sebagai kemajuan positif daripada perspektif kestabilan sektor kewangan.

Berkenaan prospek penarafan, Fitch berkata ia mempunyai prospek stabil bagi majoriti besar negara kecuali Mongolia dan Filipina (masing-masing negatif dan positif).

Prospek itu mencerminkan dua faktor, pertamanya terdapat toleransi dalam penarafan untuk memperlahankan pertumbuhan dan keduanya, prospek penarafan mencerminkan sokongan kerajaan dalam hal di mana penilaian daya maju lebih rendah berbanding penilaian kemungkiran penerbit.

Sokongan daripada pihak berkuasa masih diambil kira di rantau Asia Pasifik, demikian menurut laporan itu.

Fitch juga berkata, risiko menurun utama ialah pertumbuhan China dan kadar faedah AS, kerana pertumbuhan pesat kredit dan pengumpulan hutang sektor swasta yang tinggi sejak 2009 telah menyebabkan beberapa negara di rantau ini menjadi sensitif kepada perubahan utama keadaan ekonomi.

Fitch menjangkakan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar China perlahan kepada 6.3 peratus tahun depan dan enam peratus pada 2017, dan kadar faedah AS meningkat perlahan-lahan pada 2016.

Bagaimanapun, penurunan lebih besar China dan/atau kenaikan kadar faedah AS lebih tinggi daripada dijangkakan boleh membawa kepada ketidaktentuan ekonomi, mata wang rantau APAC yang lebih lemah dan kemungkinan kadar faedah domestik tinggi – meningkatkan kos membayar faedah hutang.

Bagi negara-negara lain rantau APAC, ekonomi lebih terbuka seperti Jepun, Singapura, Hong Kong, Korea dan Taiwan akan terjejas, terutamanya negara yang sistem kewangannya mempunyai pendedahan langsung tinggi kepada China (Singapura, Hong Kong dan Taiwan), manakala harga komoditi juga dijangka terus lemah – yang bakal menjejaskan Indonesia, Malaysia dan Australia.

Bagaimanapun, Fitch menjangka paras modal bertambah baik apabila tekanan kawal selia global mula mempengaruhi aliran modal di seluruh rantau itu, dengan bank-bank Australia terus menerajui pasaran.

ARTIKEL YANG SAMA