2017 tahun ekonomi Internet M’sia

2017 tahun ekonomi Internet M’sia

PUTRAJAYA, 13 Okt – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan lima strategi pemangkin bagi menjadikan 2017 sebagai tahun Ekonomi Internet bagi Malaysia.

Mikrokosma fizikal, pembiayaan modal risiko, perhubungan, bakat dan rangka kerja kawal aturan, merupakan pemangkin penting dalam agenda terbabit, katanya.

“Revolusi digital sangat pantas, oleh itu kita mesti menerima pakai dan mengikut perubahan,” katanya pada penutupan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC Malaysia (ICM) ke-28 di sini hari ini. Najib ialah Pengerusi ICM.

Najib berkata daripada lima pemangkin berkenaan, pewujudan pemangkin mikrokosma fizikal sangat penting.

“Ia merupakan kelompok atau hab digital komuniti di mana ekonomi Internet baharu, terutama syarikat tunas, syarikat yang sedang meningkat naik dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), berhubung, bertumpu, berkongsi dan mencetuskan idea,” katanya.

Datuk Seri Najib (tengah) melancarkan Pelan Hala Tuju Strategik eDagang Kebangsaan yang juga telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaksanaan Multimedia Super Corridor (MSC) ke-28 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. – Bernama
Datuk Seri Najib (tengah) melancarkan Pelan Hala Tuju Strategik eDagang Kebangsaan yang juga telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaksanaan Multimedia Super Corridor (MSC) ke-28 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. – Bernama

Najib berkata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Datuk Yasmin Mahmood jelas mendesak supaya hab digital ini diwujudkan bagi memenuhi keperluan syarikat yang ‘dilahirkan digital’.

“Generasi ‘cool’ sukakan kafe hipster dan ruang pejabat konvensional seperti gudang. ICM hari ini meluluskan cadangan untuk menubuhkan dan mempromosi Hab Digital Malaysia ini,” katanya.

Menerusi MDEC, Najib berkata sumbangan ekonomi digital kepada KDNK negara telah meningkat.

“Hasil daripada komitmen berterusan MDEC, sumbangan ekonomi digital Malaysia kepada KDNK telah mencecah 17.8 peratus pada 2015. Kita sudah hampir merealisasikan sasaran 18.2 peratus yang ditetapkan untuk 2020,” katanya.

Setakat ini Najib berkata MSC Malaysia mencatatkan pelaburan bernilai RM304 juta sejak penubuhannya, dan mewujudkan hampir 160,000 pekerjaan, peningkatan 16 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bagi menggalakkan pembukaan hab ini, perdana menteri memberi jaminan untuk memudahkan dan mempercepatkan proses kelulusan, dengan memperkenalkan kategori baharu di bawah Pekerja Berpengetahuan Asing MSC, yang akan melengkapkan penubuhan Hab Digital Malaysia. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA