206 murid khatam dirai

206 murid khatam dirai

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Okt – Seramai 206 orang murid Darjah 6 Sekolah Ugama Beribi, Gadong, hari ini, diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran 1436H/2015M yang berlangsung di Dewan Fathul Busyra, sekolah berkenaan, di sini.

Pada sesi pagi, seramai 29 orang murid lelaki dan 42 orang murid perempuan diraikan pada majlis yang dihadiri oleh Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Hajah Rusita binti Haji Yahya selaku tetamu kehormat majlis.

Turut hadir ialah guru-guru agama dan ibu bapa serta para penjaga murid-murid yang diraikan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh tetamu kehormat dan diteruskan dengan bacaan surah-surah pendek oleh para peserta khatam, kemudian majlis diteruskan lagi dengan bacaan Takhtim sebelum bacaan doa khatam oleh salah seorang peserta khatam, Awang Muhd Hizmi bin Hazilan dan kemudian laungan Dikir Marhaban oleh murid-murid lelaki.

Hajah Rusita bersama tetamu lainnya semasa menghadiri majlis khatam tersebut.
Hajah Rusita bersama tetamu lainnya semasa menghadiri majlis khatam tersebut.
Para peserta khatam bagi sesi pagi.
Para peserta khatam bagi sesi pagi.

Di akhir majlis, tetamu kehormat merenjis minyak wangi kepada para peserta khatam dan seterusnya menyampaikan sijil kepada para peserta khatam.

Sementara itu, pada sesi petang, seramai 71 orang murid lelaki dan 64 orang murid perempuan diraikan pada majlis sama yang dihadiri oleh Pemangku Penolong Pengarah Institusi Pengajian Islam, JPI, KHEU, Hajah Surbiah binti Haji Tengah, selaku tetamu kehormat majlis.

Majlis ini merupakan sebahagian daripada projek tahunan JPI dengan tujuan menggalakkan murid-murid agar sentiasa mengamalkan pembacaan Al-Quran dengan bacaan yang betul dan lancar.

Selain itu, ia juga bagi memastikan murid-murid Darjah 6 dapat mengkhatamkan bacaan Al-Quran sebelum mereka menamatkan pembelajaran di sekolah agama.

ARTIKEL YANG SAMA