207 pelajar SUAMPRIPAD dirai

207 pelajar SUAMPRIPAD dirai

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 April – Kejayaan seseorang pelajar bukanlah diukur melalui peperiksaan semata-mata, tetapi pelajar itu dianggap lebih berjaya jika mempunyai keperibadian yang mulia kerana ia akan dapat melahirkan generasi bangsa yang berpendidikan tinggi dan seterusnya menjadi pemangkin negara.

Di samping itu, disiplin dan pengurusan masa juga memainkan peranan dan merupakan antara inistiatif penting dalam mencapai kejayaan.

Perkara tersebut disuarakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Harun bin Haji Junid semasa Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang Sesi 1436H/2015M yang berlangsung di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, pagi tadi.

Beliau dalam ucapannya seterusnya menegaskan bahawa para pelajar perlulah sentiasa menghormati dan berterima kasih kepada guru, ibu bapa dan penjaga atas sokongan dan bantuan yang diberikan.

Tetamu kehormat semasa menyampaikan hadiah.
Tetamu kehormat semasa menyampaikan hadiah.

Dalam pada itu, beliau juga berharap kerjasama di antara guru-guru dan ibu bapa dan penjaga akan terus diperkukuhkan lagi dalam usaha meningkatkan prestasi pelajar-pelajar dan juga kualiti pendidikan sekolah.

Pada majlis tersebut, seramai 207 pelajar sekolah berkenaan telah diraikan, di mana daripada jumlah berkenaan, seramai 58 orang telah mendapat anugerah pelajar terbaik mengikut kriteria empat tahun Program Sanah 7, 36 orang mendapat anugerah pelajar terbaik mengikut kriteria empat tahun Program Sanah 8, 35 orang mendapat pelajar terbaik dalam peperiksaan akhir tahun bagi Sanah 9, 15 orang bagi 10 Normal track dan seramai 37 orang mendapat anugerah 100 peratus kehadiran.

Sementara itu, seramai 16 orang pula mendapat hadiah terbaik Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB), tujuh orang bagi BC-GCE O Level, seorang mendapat hadiah cemerlang dalam akademik dan korikulum dan seorang lagi mendapat hadiah pelajar mithali.

Menurut Pengetua Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD), Hajah Rusidah binti Haji Talip menjelaskan bahawa majlis seumpama ini diadakan setiap tahun bertujuan untuk memberikan penghargaan serta pengiktirafan dan seterusnya meraikan kejayaan penuntut dalam bidang akademik, kokurikulum dan juga syakhsiah.

Majlis seumpama ini dihasratkan dapat menyuntik semangat para pelajar dan sebagai motivasi kepada mereka selain menimbulkan sebuah persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar.  untuk meraih kejayaan dan kecemerlangan yang diinginkan.

ARTIKEL YANG SAMA