2,075 graduan IBTE terima sijil

2,075 graduan IBTE terima sijil

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Seramai 2,075 orang graduan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah berjaya menamatkan pengajian mereka dalam bidang pilihan masing-masing dan menerima sijil mereka dalam Majlis Konvokesyen IBTE ke-24 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Majlis konvokesyen berkenaan telah dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi pagi di mana seramai 1,155 orang graduan menerima Sijil Tinggi Kebangsaan Pendidikan Teknikal (HNTEC), Sijil Kebangsaan Pendidikan Teknikal (NTEC), Kemahiran Kelayakan Perindustrian (ISQ), BDTVEC Sijil Kemahiran (SC) 2 dan 3.

Manakala itu, pada sebelah petang pula, seramai 920 orang graduan menerima BDTVEC Diploma Kebangsaan (ND) dan BDTVEC Diploma dalam pelbagai program latihan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyempurnakan penyampaian sijil pada sebelah pagi ialah Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Awangku Mohamad Ariq dan Dayang Nur Syifaa’ ketika ditemu bual pada majlis tersebut.
Awangku Mohamad Ariq dan Dayang Nur Syifaa’ ketika ditemu bual pada majlis tersebut.

Manakala itu, penyampaian sijil pada sebelah petang pula telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Majlis konvokesyen berkenaan turut menyaksikan seramai 13 orang pelajar menerima Anugerah Pelajar Terbaik dan Anugerah Prestasi Terbaik.

Pada majlis itu, Media Permata berkesempatan menemu bual dua penerima Anugerah Prestasi Terbaik yang melahirkan perasaan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala dengan penganugerahan tersebut dan berharap akan dapat melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya.

Salah seorang penerima anugerah tersebut, Awangku Mohamad Ariq bin Pengiran Haji Bakar, 25, yang mengikuti jurusan BDTVEC Diploma dalam Sistem Audio dan Video berkata, beliau menyatakan perasaan tidak menyangka akan mendapat anugerah berkenaan dalam bidang yang diikuti.

Beliau yang merupakan anggota Tentera Udara Diraja Brunei mengikuti pengajian ini selama dua tahun di Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal secara sepenuh masa.

“Dengan sijil dan anugerah yang diperolehi ini, ia akan dapat membantu dalam kerja harian di tempat kerja bersesuaian dengan bidang yang diambil, selain dapat berkongsi pengetahuan dan ilmu yang diperolehi bersama rakan seperjuangan yang lain,” tambahnya.

Manakala itu, Dayang Nur Syifaa’ binti Haji Arjuna, 21, penerima anugerah dalam BDTVEC Diploma dalam Pembinaan dari Sekolah Tenaga dan Kejuruteraan, Kampus Nakhoda Ragam pula telah melahirkan rasa minatnya terhadap bidang yang diceburinya.

Menurutnya, semasa di pusat tingkatan enam, beliau mengambil bidang Rekaan dan Teknologi (D&T) dan dari situlah timbul minat untuk mendalami lagi bidang tersebut

Dalam kesempatan itu, beliau juga memberi kata-kata semangat untuk para belia supaya meneliti dahulu bidang yang diminati kerana dengan bidang yang diminati itu pastinya akan membuahkan hasil yang menggembirakan.

ARTIKEL YANG SAMA