21 jenazah mangsa pemerdagangan dikebumikan

21 jenazah mangsa pemerdagangan dikebumikan

POKOK SENA, 22 Jun (Bernama) – Pengebumian 21 jenazah mangsa pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma, Wang Kelian hari ini adalah bukti jelas jenayah itu merupakan masalah yang serius dan perlu ditangani, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

“Kita berharap dengan pengebumian hari ini akan menyebabkan negara-negara ASEAN berusaha mencari penyelesaian berpanjangan terhadap isu ini (jenayah pemerdagangan manusia),” katanya kepada pemberita selepas majlis tahlil yang diadakan sempena pengebumian jenazah mangsa di Kampung Tualang.

Kesemua 21 jenazah itu, 19 lelaki dan dua wanita mangsa jenayah pemerdagangan manusia di Wang Kelian dikebumikan di tanah perkuburan khairiah Kampung Tualang di sini.

Menurut Mukhriz, baki 85 jenazah yang lain akan dikebumikan secara berperingkat selepas proses bedah siasat selesai, dengan kumpulan kedua 28 jenazah mangsa bakal dikebumikan 29 Jun ini di lokasi sama.

Menteri Besar Kedah itu juga mahukan kawalan keselamatan di sempadan negara dan Thailand diperketatkan supaya ia tidak mudah dibolosi oleh mana-mana pihak termasuk oleh sindiket pemerdagangan manusia.

Penduduk kampung menyaksikan para lelaki mengebumikan mayat yang dipercayai etnik Rohingya yang ditemui di kem pemerdagangan manusia, Kampung Tualang, Alor Setar. – AFP
Penduduk kampung menyaksikan para lelaki mengebumikan mayat yang dipercayai etnik Rohingya yang ditemui di kem pemerdagangan manusia, Kampung Tualang, Alor Setar. – AFP

Mengenai punca kematian mangsa jenayah pemerdagangan manusia itu, Mukhriz berkata, setakat ini puncanya, hasil proses bedah siasat adalah kekurangan makanan dan penyakit.

“Bagaimanapun, jika mereka (mangsa) dikurung tanpa diberi sebarang makanan, itu juga adalah pembunuhan,” katanya dan menambah, apa yang berlaku adalah sesuatu yang amat mendukacitakan.

Beliau tidak dapat membayangkan situasi yang dialami oleh mangsa terbabit sebelum mereka menemui ajal di kem-kem transit yang didirikan di Bukit Wang Burma, Wang Kelian.

Mukhriz berkata negara ASEAN terutamanya Myanmar, perlu memainkan peranan untuk mengurangkan atau menghentikan masalah migrasi penduduk ini.

ARTIKEL YANG SAMA