21 menara telekomunikasi dibina

KUDAT, 22 Feb – Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan membina 21 menara telekomunikasi bernilai RM50.4 juta di Kudat dan Pitas bagi meningkatkan akses liputan Internet di kawasan berkenaan.

Menterinya Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata 13 daripada menara berkenaan yang bernilai RM31.2 juta akan dibina di Pitas manakala lapan lagi menara bernilai RM19.2 juta akan dibina di Kudat.

“Kita akan laksanakan tahun ini. Tender telah pun diadakan dan kita akan muktamadkan tender tersebut.

“Dengan adanya pembinaan menara telekomunikasi ini, ia akan menambah liputan kemudahan Internet di kawasan ini kerana kawasan ini (menara) ialah kawasan yang tidak dapat ditembusi oleh kemudahan Internet,” katanya.

Salleh yang juga Bendahari UMNO berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan tengah hari bersama Barisan Nasional (BN) Kudat di sini hari ini.

Katanya dengan adanya menara berkenaan, kawasan terlibat akan dapat ditembusi dengan kemudahan Internet sekali gus membantu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di situ.

“Kita kerajaan akan memberi tumpuan utama (dalam bidang telekomunikasi) kepada tiga perkara. Pertama liputan, kedua kelajuan dan ketiga ialah kos. Ini yang kita beri perhatian,” katanya. – Bernama