21 mualaf terima sijil

21 mualaf terima sijil

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Seramai 21 saudara baru lelaki dari keempat-empat daerah telah berjaya menamatkan Skim Bimbingan Lanjutan (1) Saudara-Saudara Baru dan menerima sijil masing-masing di majlis yang berlangsung di Bangunan Darul Huda Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Pulaie, Berakas, hari ini.

Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Ketua Unit Pentadbiran PDI, Haji Ibrahim bin Metali selaku tetamu kehormat majlis yang turut menyampaikan hadiah kepada tiga saudara baru yang mencatat keputusan cemerlang dalam ujian.

Tempat pertama disandang oleh Awang Muhammad Adi Faizal bin Shahnuddin, diikuti oleh Awang Muhammad Helmie Danial bin Abdullah Sebi dan Awang Muhammad Adam bin Abdullah masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Skim anjuran Bahagian Pengislaman dan Pemeliharaan Mualaf PDI ini diharap dapat memberikan peluang kepada saudara-saudara baru untuk menambah pengetahuan agama dari semasa ke semasa dan menjadi seorang yang dicontohi oleh saudara baru yang lain.

Saudara-saudara baru juga diharap dapat memanfaatkan dan mengamalkan ilmu yang dipelajari.

Pendedahan melalui kursus bimbingan tersebut juga merupakan salah satu usaha bagi melahirkan saudara baru berkualiti yang tidak ketinggalan dan peka kepada ilmu-ilmu pengetahuan yang menjurus ke arah memantapkan akidah mengikut syariat Islam yang ditentukan.

ARTIKEL YANG SAMA