21 pain darah berjaya dikumpul

21 pain darah berjaya dikumpul

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mei – Sebanyak 21 pain darah telah berjaya dikumpulkan menerusi Kempen Derma Darah anjuran Brunei Gas Carrier (BGC) Sdn Bhd dengan kerjasama Pusat Derma Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang diadakan di Pejabat BGC, Jerudong, hari ini.

Kempen yang dianjurkan sebagai sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu, bermula jam 9 hingga 11 pagi dan dikendalikan bersama kakitangan dari Pusat Derma Darah Hospital RIPAS diketuai oleh Haji Matusop bin Haji Daud dibantu oleh Pegawai Perubatan Hospital iaitu Dr. Nway Nang.

Hadir sama menderma darah ialah Pengarah Urusan BGC Sdn Bhd, Haji Shahbudin bin Haji Musa dan pihak berkepentingan terdiri dari Akademi Maritim Brunei (BMA), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan pihak-pihak tertentu berhampiran kawasan Jerudong.

Penyelia Simpanan Darah Hospital RIPAS, Haji Iqmal bin Haji Ismail, semasa ditemu bual memberitahu Media Permata, keperluan darah sudah semakin meningkat, dengan sekurang-kurangnya 50 pain sehari diperlukan.

Sehubungan itu, mereka memerlukan kerjasama badan-badan bukan kerajaan (NGOs) dan syarikat-syarikat untuk bekerjasama dengan mereka dalam mengadakan kempen derma darah secara berterusan.

Salah seorang penderma ketika menjalani ujian pemeriksaan sebelum layak menderma darah.
Salah seorang penderma ketika menjalani ujian pemeriksaan sebelum layak menderma darah.

Menurut beliau, hampir setiap hari mereka melaksanakan kempen derma darah, walaupun simpanan setakat ini mencukupi tetapi tabung darah mesti terus ditambah bagi memastikan ia dapat menampung keperluan pesakit yang memerlukannya.

“Menderma darah merupakan satu amalan yang sihat, ia boleh mengurangkan kira-kira 500 kalori bagi setiap penderma, dan mereka boleh menderma selepas dua bulan, dan boleh menderma empat hingga lima kali dalam setahun,” katanya.

Tambahnya lagi, beberapa perubahan ke atas syarat menderma darah telah dilaksanakan sejak 14 Jun 2014, iaitu remaja berusia 17 tahun dibolehkan menderma darah dengan mendapatkan kebenaran bertulis daripada ibu bapa melalui borang yang disediakan, berbanding sebelum ini yang terhad kepada 18 tahun ke atas.

Sementara itu, berat badan juga telah dikurangkan kepada 45 kilogram berbanding 50 kilogram sebelum ini, yang mana perubahan itu adalah bagi menyasarkan penderma dalam kalangan belia yang sihat.

ARTIKEL YANG SAMA