21 syarikat ke Oman 4 Dis ini

21 syarikat ke Oman 4 Dis ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Sebanyak 21 buah syarikat Brunei akan menyertai delegasi rasmi yang diketuai oleh Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan bagi Misi Perdagangan ke Kesultanan Oman bulan depan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, Misi Perdagangan berkenaan dijalankan bersempena Seminar Tenaga dan Industri Bersama Brunei-Oman ke-2 yang akan diadakan di Grand Hyatt, Muscat pada 4 hingga 6 Disember depan.

Seminar anjuran bersama Jabatan Tenaga dan Perindustrian di JPM dan Kementerian Minyak dan Gas Kesultanan Oman itu akan membawa tema ‘Mengukuhkan Kerjasama Perindustrian bagi Pertumbuhan dan Pembangunan Ekonomi’.

Sehubungan itu, satu taklimat bagi misi dan seminar berkenaan telah diadakan semalam di Bangunan Reka Bentuk & Teknologi, Anggerek Desa, yang turut dihadiri oleh Duta Besar Kesultanan Oman ke Brunei Darussalam, Sheikh Ahmed bin Hashil bin Rashid Al-Maskari.

Menurut kenyataan itu, syarikat-syarikat tempatan yang menyertai misi berkenaan akan mewakili pelbagai sektor dan aktiviti perniagaan, termasuk minyak dan gas, makanan, farmaseutikal, kosmetik, ICT, fesyen Muslimah, pendidikan dan perkhidmatan perniagaan.

Daripada 21 buah syarikat berkenaan, lapan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) layak bagi tajaan kerajaan yang meliputi tempat penginapan, tiket penerbangan pergi balik dan pencetakan bahan-bahan promosi.

Kenyataan itu menjelaskan, tajaan berkenaan disediakan untuk menyokong pertumbuhan PMKS tempatan yang mempunyai potensi untuk mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara.

Menerusi pendedahan ini, PMKS diharap untuk berkembang dengan menarik pelaburan, melaksanakan penyelidikan pasaran dan mewujudkan perkongsian dan rangkaian perniagaan.

Seminar Tenaga dan Industri Bersama Brunei-Oman ke-2 akan membincangkan Pembangunan PKS, Keupayaan-keupayaan Tenaga Boleh Diperbaharui, Kemudahan Menjalankan Perniagaan (Ease of Doing Business) dan topik-topik lain akan dilaksanakan di antara agensi-agensi berkaitan di kedua-dua buah negara.

Aktiviti-aktiviti lain yang dirancang termasuk bengkel-bengkel mengenai aktiviti-aktiviti perdagangan dan pelaburan, padanan perniagaan dan lawatan-lawatan ke loji-loji penapisan minyak, pelabuhan-pelabuhan utama, unit-unit pemprosesan makanan dan tapak-tapak perindustrian.

Antara objektif seminar dan misi perdagangan berkenaan adalah untuk merangsang hubungan lebih rapat di antara kedua-dua buah negara dengan meneroka lebih banyak bidang-bidang kerjasama dalam tenaga dan industri. Diharapkan bahawa platform ini akan membolehkan pertukaran maklumat dan amalan-amalan terbaik dalam membangunkan sektor tenaga dan industri kedua-dua buah negara.

Seminar tahun ini adalah yang kedua diadakan oleh Jabatan Tenaga dan Perindustrian di JPM Brunei Darussalam dan Kementerian Minyak dan Gas Oman.

Seminar bersama pertama telah diadakan pada November 2014 di Brunei Darussalam, di mana satu delegasi terdiri daripada lebih 20 orang pegawai dan wakil syarikat-syarikat Oman dengan diketuai oleh Setiausaha Rendah Kementerian Minyak dan Gas, Salim Nasser Al Aufi telah menyertai seminar berkenaan.

Sesi-sesi berkenaan meliputi mengenai peranan perundangan, cabaran-cabaran dalam industri huluan dan hiliran minyak dan gas, tenaga mampan, pengaruh teknologi, pembangunan PKS dan pembangunan kapasiti teknikal.

Acara penting pada seminar bersama pada 2014 termasuk penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Flux O S Sdn Bhd dari Brunei Darussalam dan Gulf Energy dari Kesultanan Oman.

Sebagai susulan daripada seminar itu, satu delegasi dari Oman berkunjung ke Brunei pada Mei 2015 dengan diketuai oleh Penasihat Sumber-sumber Manusia kepada Kementerian Minyak dan Gas, Sheikh Khalid Bin Ghalid Bin Ali-Hinai untuk mempelajari dan mencontohi Rangka Kerja Kecekapan Industri Tenaga (EICF) Brunei serta mengenai usaha-usaha Brunei meningkatkan pengambilan pekerja tempatan.

Kenyataan turut menggalakkan para pengusaha PMKS dan syarikat-syarikat mengikuti platform media sosial, di Instragram dan Facebook, Darussalam Enterprise (DARE) dan Jabatan Tenaga dan Perindustrian untuk mengetahui mengenai peluang-peluang menyertai misi-misi perdagangan dan seminar akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA