212 menara komunikasi di Sabah siap

212 menara komunikasi di Sabah siap

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) – Projek pembinaan 212 menara komunikasi di Sabah telah siap dan beroperasi, sementara 79 menara masih dalam peringkat pelaksanaan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata pembinaan menara itu antara langkah kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaksanakan pelbagai inisiatif baharu bagi meningkatkan kemudahan liputan telefon selular dan Internet di Sabah terutama di kawasan luar bandar.

“Inisiatif lain ialah peluasan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi melalui projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi fasa 2 (HSBB2) dan projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB). Melalui kedua-dua projek ini, sebanyak 31 ibu sawat akan dinaik taraf untuk penyediaan 60,000 sambungan port,” katanya di dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Abd Rahim Bakri (BN-Kudat) mengenai tindakan yang diambil kementerian bagi menangani masalah liputan telefon selular khususnya Celcom di Daerah Pitas yang sering terganggu dan sukar mendapat liputan.

Salleh berkata pembinaan sistem kabel dasar laut yang menghubungkan Sabah dan Semenanjung Malaysia dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2017.

Menurutnya, SKMM turut melaksanakan projek Menaik Taraf Liputan Jalur Lebar Mudah Alih 3G di bawah program Peluasan Liputan Perkhidmatan Selular yang melibatkan 447 lokasi Sabah.