213 terima derma

213 terima derma

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Sejumlah $25,200 berjaya dikumpulkan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Akar hasil sumbangan penduduk Kampung Sungai Akar tahun ini dan diagihkan kepada seramai 213 penerima di majlis yang diadakan di Restoran Pujangga, kampung berkenaan, hari ini.

Penerima sumbangan derma itu terdiri daripada 41 anak yatim, 67 balu, 26 penerima bahagian kebajikan dan 79 warga intan berumur 75 tahun dan ke atas.

Jumlah terkumpul tahun ini menyaksikan peningkatan lebih $2,000 berbanding tahun lalu yang berjumlah $22,696 dan ini jelas membuktikan betapa dermawan dan prihatinnya para penduduk Kampung Sungai Akar.

Menyempurnakan penyampaian derma kepada warga intan berumur 75 tahun ke atas dan anak-anak yatim Kampung Sungai Akar berkenaan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Paduka Haji Ali bin Apong sambil diiringi Ketua Kampung Sungai Akar, Haji Ramlee bin Haji Mohd Zain.

Dato Paduka Haji Ali menyampaikan sumbangan kepada salah seorang warga intan.
Dato Paduka Haji Ali menyampaikan sumbangan kepada salah seorang warga intan.
Datin Hajah Norhaida menyampaikan derma kepada salah seorang penerima.
Datin Hajah Norhaida menyampaikan derma kepada salah seorang penerima.

Sementara itu, penyampaian derma kebajikan kepada orang-orang yang memerlukan dan kepada balu-balu telah disempurnakan oleh isteri Dato Paduka Haji Ali iaitu Datin Hajah Norhaida binti Haji Sulaiman sambil diiringi isteri Haji Ramlee iaitu Hajah Rokiah binti Ismail.

Majlis tahunan anjuran MPK Sungai Akar turut mendengarkan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Pengerusi MPK Sungai Akar, Haji Abdul Hakim bin Haji Mohd Yassin selaku Pengerusi Majlis.

Selesai penyampaian derma, Majlis Tahlil dan Doa Arwah Sekampung pula mengambil tempat yang telah dipimpin oleh mantan imam, Haji Salleh bin Haji Murah.

ARTIKEL YANG SAMA