216 guru interim pendidikan Islam terima surat penempatan

KOTA KINABALU, 10 Ogos – Seramai 216 graduan Pengajian Islam di Sabah hari ini menerima surat lantikan dan penempatan sebagai guru interim Pendidikan Islam bagi mengisi kekosangan guru di seluruh negeri ini.

Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibul berkata seramai 166 guru baharu itu akan ditempatkan di sekolah menengah, manakala selebihnya pula ditempatkan di sekolah rendah.

“Lantikan guru interim Pendidikan Islam ini merupakan strategi kedua dalam pelan induk menangani kekurangan guru Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

“Kita sangat berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia kerana meluluskan permohonan jabatan untuk melantik guru interim itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Lantikan dan Penempatan Guru Interim Pendidikan Islam Sekolah Negeri Sabah 2017, di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Mohd Arifin Arif.

Datuk Mohd Ariffin Arif (tengah) bersama Datuk Maimunah Suhaibul (kiri) menyerahkan Surat Lantikan kepada Ustaz Khairul Anuar pada Majlis Penyerahan Surat Lantikan dan Penempatan Guru Interim Pendidikan Islam Sekolah Negeri Sabah 2017 kelmarin. – Bernama
Datuk Mohd Ariffin Arif (tengah) bersama Datuk Maimunah Suhaibul (kiri) menyerahkan Surat Lantikan kepada Ustaz Khairul Anuar pada Majlis Penyerahan Surat Lantikan dan Penempatan Guru Interim Pendidikan Islam Sekolah Negeri Sabah 2017 kelmarin. – Bernama

“Saya percaya kejayaan ini adalah hasil daripada kegigihan semua pihak demi memastikan pendidikan agama anak-anak di Sabah terus terjamin,” kata Maimunah yang turut berterima kasih kepada kerajaan negeri yang sentiasa memberi sokongan dalam memperjuangkan isu ini.

Sementara itu, Mohd Arifin berkata kejayaan Jabatan Pendidikan Sabah menangani isu kekurangan guru Pendidikan Islam ini harus diberi pujian.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya menyatakan komitmen dan sokongan terhadap usaha murni itu, khususnya untuk memartabatkan syiar Islam melalui bidang pendidikan kerana ia adalah tunjang dalam pembentukan sebuah negara bangsa,” katanya. – Bernama