219 rekrut tamat kursus

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 12 Jan – Seramai 163 orang rekrut lelaki pengambilan ke-160 dan 56 orang rekrut wanita pengambilan ke-53 Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah berjaya menamatkan latihan asas ketenteraan dan diraikan dalam Upacara Perbarisan Tamat Latihan di Padang Kawad Institut Latihan ABDB (IL ABDB), Penanjong Garison, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Dasar dan Pelaburan) di Kementerian Kewangan, Dato Paduka Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

Dalam ucapannya di majlis itu, Dato Paduka Ahmaddin antara lain telah menekankan bahawa anggota yang terlatih, cekap dan profesional adalah penting bagi memastikan ABDB akan terus melaksanakan tanggungjawab dalam memelihara nikmat keamanan negara.

Melalui kenikmatan ini, tambahnya, sudah setentunya akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mampan dan berdaya saing. Ini adalah kerana, keamanan dan kestabilan negara, merupakan salah satu faktor penting bagi menarik pelabur langsung asing ke Negara Brunei Darussalam.

Beliau seterusnya menyarankan agar rekrut-rekrut akan sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran dalam mempertingkatkan tahap profesionalisme ketenteraan, mengamalkan nilai-nilai keperibadian yang mulia serta menanamkan sikap disiplin yang tinggi.

Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih bergambar ramai bersama anggota keluarga rekrut wanita pengambilan ke-53 Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. – Gambar oleh Azaraimy
Dato Paduka Ahmaddin menyampaikan anugerah kepada jurulatih-jurulatih dan rekrut-rekrut yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang sepanjang latihan rekrut.

Pada upacara berkenaan, Dato Paduka Ahmaddin telah berkesudian memeriksa perbarisan dan seterusnya menyampaikan anugerah kepada jurulatih-jurulatih dan rekrut-rekrut yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang sepanjang latihan dijalankan. Rekrut lelaki telah menjalani latihan selama 31 minggu sementara bagi rekrut wanita selama 21 minggu.

Bagi rekrut lelaki, Anugerah Platun Sarjan Lelaki Terbaik diterima oleh 15737 Sarjan Mohd Ali bin Haji Ismail; 15566 Lans Koperal Suhardi bin Kurus menerima Anugerah bagi Jurulatih Lelaki Terbaik; 52308 Rekrut (L) Mohd Zulizam bin Shamri bagi Rekrut Lelaki Terbaik Keseluruhan; 52175 Rekrut Ahmad Firdaus bin Yusup bagi Penembak Senjata Ringan Terbaik; 52272 Rekrut (U) Awangku Mohd Izzat Suffi bin Pengiran Emran bagi Latihan Jasmani Terbaik; dan 52180 Rekrut Awangku Aminor Ariffin bin Pengiran Amir Hamzah bagi Kemahiran Tentera Terbaik.

Manakala itu, bagi rekrut wanita, 21324 Sarjan Hajah Norhafizah binti Haji Duraman menerima Anugerah bagi Platun Sarjan Wanita Terbaik; 21243 Koperal Linda binti Serudin bagi Jurulatih Wanita Terbaik; 21875 Rekrut Dayangku Khalisha binti Pengiran Abdul Rahman bagi Rekrut Wanita Terbaik Keseluruhan; 21870 Rekrut Almas Syadwanie binti Kamis bagi Penembak Senjata Ringan Terbaik; 21885 Rekrut (U) Siti Marhayati binti Ahmad bagi Latihan Jasmani Terbaik; dan 21860 Rekrut Nurhafizah binti Harun bagi Kemahiran Tentera Terbaik.

Turut hadir menyaksikan upacara tersebut ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah; pemerintah angkatan tentera, komandan-komandan, para pegawai kanan, pegawai dan anggota ABDB, keluarga serta rakan rekrut-rekrut.