22 anak damit baru lahir, diraikan

22 anak damit baru lahir, diraikan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jun – Seramai 22 orang anak damit dilahirkan semasa Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-54 tahun pada 31 Mei.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 19 anak damit telah dilahirkan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) di Bandar Seri Begawan dan tiga anak damit dilahirkan di Hospital Suri Seri Begawan di Daerah Belait.

Sehubungan itu, majlis penyampaian cenderahati bagi anak damit yang dilahirkan di Daerah Brunei Muara diadakan di Hospital RIPAS, hari ini dan disempurnakan oleh isteri kepada Timbalan Pemerintah ABDB, Datin Hajah Sakdiah binti Haji Mohd Noor.

Pada majlis berkenaan, setiap anak damit menerima cenderahati berupa hamper serta baucar dari ABDB, Badan Isteri-isteri Pegawai ABDB (BAKTI) dan Koperasi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (KOWIRA).

Manakala itu, majlis yang serupa diadakan bagi anak damit yang dilahirkan di Daerah Belait yang berlangsung di Hospital Suri Seri Begawan di mana penyampaian cenderahati telah disempurnakan oleh isteri kepada Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei, Pengiran Hajah Umi Suhana binti Pengiran Indera Perkasa Pengiran Haji Hamdan.

Datin Hajah Sakdiah menyampaikan cenderahati kepada para penerima di majlis berkenaan.
Datin Hajah Sakdiah menyampaikan cenderahati kepada para penerima di majlis berkenaan.

Turut semasa majlis berkenaan diadakan ialah pegawai-pegawai ABDB dan kakitangan Hospital serta dari Ahli Jawatankuasa Tadbir BAKTI.

Sementara itu, bagi pasangan Owi Boon Pin dan Han Cheng Ying, kelahiran anak damit perempuan kedua mereka bukan sahaja akan menambahkan lagi keceriaan dalam keluarga tetapi cukup istimewa kerana merupakan anak damit pertama yang dilahirkan di Daerah Brunei Muara bagi Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ke-54.

Dalam temu bual bersama Media Permata di majlis penyampai cenderahati anak-anak lahir 31 Mei di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, hari ini, pasangan berkenaan menyatakan kegembiraan di atas kehadiran puteri baru mereka pada pukul 12.35 pagi.

Bagi ibu anak damit berkenaan, Han Cheng Ying yang juga merupakan seorang guru, kelahiran puteri kedua pasangan itu, memang penuh bermakna baginya dan suami di mana kelahirannya pada 31 Mei merupakan satu hari yang istimewa bagi mereka suami isteri dan ditambah lagi ia jatuh pada Hari Ulang Tahun ABDB ke-54 tahun.

Beliau menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang banyak memberikan bantuan kepadanya terutama sekali doktor, jururawat dan kakitangan Hospital RIPAS serta juga ABDB, BAKTI dan KOWIRA di atas cenderahati yang disampaikan.

ARTIKEL YANG SAMA