22 anak kapal terselamat

22 anak kapal terselamat

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) – Kapten kapal tangki MT Orkim Harmony, Nor Fazly Sahat hanya memaklumkan bahawa kapal tangki itu telah bebas daripada tawanan, hampir lima jam setelah kesemua lapan perampas kapal tersebut melarikan diri.

Perampas kapal MT Orkim Harmony itu melarikan diri menggunakan bot penyelamat kapal tangki itu kira-kira 8.30 malam tadi dan kapten kapal itu memaklumkan kepada Kapal Diraja (KD) Terengganu pada 12.55 tengah malam untuk diselamatkan.

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata sebelum itu Nor Fazly telah diugut akan diancam keselamatan keluarganya jika mendedahkan rancangan mereka untuk meninggalkan kapal.

“Nor Fazly hanya memaklumkan kepada KD Terengganu hampir lima jam setelah mereka (perampas kapal) melarikan diri demi keselamatan keluarganya.

“Selain itu, mereka (perampas kapal) juga telah mengambil butiran peribadi keluarga Nor Fazly,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini.

Kapal MT Orkim Harmony yang ditukar namanya ke Kim Harmon berikutan rampasannya pada 11 jun lepas. – Bernama
Kapal MT Orkim Harmony yang ditukar namanya ke Kim Harmon berikutan rampasannya pada 11 jun lepas. – Bernama

Abdul Aziz berkata kapal tangki itu bebas daripada tawanan apabila lapan perampas kapal itu melarikan diri ketika dalam pelayaran menuju ke Kepulauan Natuna, Indonesia.

“Kapal pengiring KD Terengganu telah diugut oleh ketua perompak untuk menjarakkan kedudukan kapal kepada tidak kurang dari lima batu nautika dan sekiranya tidak, kru kapal akan dicederakan.

“Ketua perompak menyatakan rancangan untuk meneruskan pelayaran ke Kepulauan Natuna,” katanya.

Kesemua 22 anak kapal MT Orkim Harmony tersebut dibebaskan kira-kira 2.30 pagi tadi. Kesemua kru disahkan selamat kecuali seorang tukang masak yang cedera ditembak di paha kiri dan dilaporkan hanya mengalami cedera ringan.

Selain itu, muatan 6,000 tan metrik petrol RON95 turut disahkan tidak dilarikan perampas.

Kapal tangki berkenaan kini meneruskan perjalanan ke Pelabuhan Kuantan diiringi KD Handalan dan dijangka tiba 2 pagi esok.