22 anggota polis terima pingat perkhidmatan

22 anggota polis terima pingat perkhidmatan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Seramai 22 orang anggota pangkat rendah dari Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah menerima pingat perkhidmatan polis setahun dengan dua di antaranya menerima sijil kepujian daripada Pesuruhjaya Polis pada majlis yang berlangsung di Padang Kawad, Pusat Latihan Polis, Gadong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil dan pingat ialah Pegawai Pemerintah Polis Lapangan Terbang Antarabangsa, Supt. Haji Zaini bin Haji Abdul Rahim yang turut memeriksa kawalan perbarisan kawad Pegawai Pemerintah di awal majlis.

Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian sijil kepujian Pesuruhjaya Polis kepada L/Cpl 3258 Mohammed Fuadi bin Haji Suhaili dan L/Cpl 4995 Mohd Kamarizan bin Haji Tampoi.

Sijil kepujian merupakan penghargaan terhadap kedua-dua penerima yang telah menunjukkan kejayaan serta dedikasi semasa menjalankan tugas, antaranya setelah berjaya membuat penilaian imej sebuah bagasi kepunyaan seorang warga Indonesia yang membuat penerbangan transit dari Surabaya ke Jeddah menggunakan analisis berkomputer ‘tranferline’ Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Tetamu kehormat ketika memeriksa perbarisan.
Tetamu kehormat ketika memeriksa perbarisan.
Supt. Haji Zaini ketika menyampaikan pingat kepada salah seorang anggota yang menerima pingat.
Supt. Haji Zaini ketika menyampaikan pingat kepada salah seorang anggota yang menerima pingat.

Hasil pemeriksaan itu mendapati empat butir peluru dan sebatang pen yang diubah suai mengandungi sebutir peluru di dalamnya dan satu bungkusan yang mencurigakan disyaki bahan letupan buatan sendiri.

Berikutan penemuan itu, suspek ditangkap dan laporan polis dibuat berhubung BKS/CR/776/15 dan kes disiasat oleh Unit Siasatan Khas Ong Sum Ping.

Suspek telah pun dihadapkan ke Mahkamah BSB dan keputusan mahkamah sebagai ‘Discharge Not Amounting to Aquital’ (DNAA).

Tetamu kehormat kemudian menyampaikan pingat-pingat kepada anggota Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei yang dianugerahkan berdasarkan rekod perkhidmatan anggota yang telah mencapai setahun.

ARTIKEL YANG SAMA