22 askar maut diserang di kem pelarian

22 askar maut diserang di kem pelarian

NIAMEY, 7 Okt – Seramai 22 askar telah terbunuh dalam satu serangan yang disalahkan ke atas kumpulan jihad, di sebuah kem di Niger yang menempatkan pelarian Mali, menurut pegawai keselamatan hari ini.

Serangan ke atas kem di Tazalit, di rantau Tahoua kira-kira 300km dari timur laut bandar Niamey, berlaku pada pagi hari Khamis.

“Kira-kira 30 ke 40 lelaki bersenjata berat bercakap dalam Bahasa Tuareg melakukan serangan itu, membunuh 22 askar,” kata pegawai yang meminta untuk tidak dinamakan memberitahu AFP.

Katanya, serangan itu ‘kemungkinan dilakukan oleh kumpulan jihad’.

Agensi pelarian PBB, yang mengesahkan jumlah kematian itu, berkata dalam satu kenyataan bahawa lima askar juga cedera dalam serangan, sementara tiga berjaya menyelamatkan diri.

Para penyerang ‘menuju secara langsung ke pos keselamatan kem dan menembak askar-askar yang sedang menikmati hidangan tengah hari,” tambah pegawai keselamatan.

Mereka pergi dua jam kemudian selepas merampas tiga kenderaan, termasuk sebuah ambulans, serta senjata, makanan dan pakaian.

Agensi pelarian PBB berkata lebih 50,000 warga Mali telah mencari perlindungan di Niger. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA