22 jurulatih ikuti Kursus Kejurulatihan Sijil ‘C’ AFC

22 jurulatih ikuti Kursus Kejurulatihan Sijil ‘C’ AFC

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov – Seramai 22 orang jurulatih bola sepak terdiri daripada 15 orang tempatan, empat orang dari Singapura, dua orang dari Australia dan seorang dari Malaysia kini sedang mengikuti Kursus Kejurulatihan Sijil ‘C’ AFC anjuran Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD).

Kursus selama 13 hari meliputi 85 jam gabungan teori dan amali dari 24 November hinga 6 Disember itu telah dibuka rasmi oleh Setiausaha Agung NFABD, Haji Mohd Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani petang ini di NFABD House.

Pemudahcara kursus berkenaan ialah Jurulatih Kakitangan Kanan NFABD dan Ketua Jurulatih Tabuan Muda (Pasukan Kebangsaan Bawah 23 Tahun Brunei Darussalam) dari Singapura, Stephen Ng Heng Seng.

Sijil ‘C’ merupakan kemasukan asas untuk menjadi seorang jurulatih berlesen yang diiktiraf AFC yang bertujuan bagi mempertingkat kefahaman asas para jurulatih mengenai teknik-teknik dan kemahiran-kemahiran bola sepak.

Para peserta Kursus Kejurulatihan Sijil C AFC bersama Haji Muhd Zamri (duduk empat dari kiri) semasa Majlis Pembukaan Rasmi Kursus berkenaan.
Para peserta Kursus Kejurulatihan Sijil C AFC bersama Haji Muhd Zamri (duduk empat dari kiri) semasa Majlis Pembukaan Rasmi Kursus berkenaan.

Mereka berpeluang untuk mempelajari cara-cara untuk menganjur, mengarah dan menjalankan latihan-latihan kejurulatihan asas. Para peserta juga perlu menjalani ujian yang bertujuan menguji keupayaan kejurulatihan amali jurulatih dan pengetahuan mereka kepada Undang-undang Permainan.

Kursus yang bermula hari ini berkenaan merupakan kursus terakhir seumpamanya yang dianjurkan oleh NFABD bagi tahun ini.

Haji Mohd Zamri dalam ucapan perasmiannya menyatakan NFABD percaya menerusi program pembangunan belia yang teratur sambil dibantu oleh para jurulatih berkelayakan dalam Program Pendidikan Jurulatih, hanya akan membawa kemajuan berterusan mempertingkat standard bola sepak negara untuk bersaing di arena serantau dan antarabangsa di masa depan.