22 maut, 2 wanita menyamar lelaki letup diri

22 maut, 2 wanita menyamar lelaki letup diri

MAIDUGURI, Nigeria, 16 Mac (AFP) – Kira-kira 22 orang terkorban hari ini apabila dua wanita menyamar sebagai lelaki meletupkan diri mereka semasa solat subuh di sebuah masjid di Maiduguri, timur laut Nigeria, kata penyelamat dan tentera.

Serangan berlaku kira-kira jam 5:30 pagi (0430 GMT) di bandar daerah Molai, yang sering menjadi sasaran pemberontak Boko Haram pada masa lalu.

Jurucakap Agensi Pengurusan Kecemasan Negeri Borno, Abdullahi Omar dan jurucakap askar, Sani Usman mengesahkan letupan itu.

“Sedihnya, 22 orang telah terkorban dan 18 lagi mengalami kecederaan pelbagai darjah,” kata Usman dalam kenyataan e-mel.

Sumber agensi kerajaan menambah, “Pagi ini sebelum solat, dua wanita menyamar sebagai lelaki datang ke masjid.

“Salah seorang masuk dan menyertai saf pertama dan apabila jemaah hendak bangkit untuk bersolat dia meletupkan bahan letupannya, membunuh beberapa jemaah.

“Ketika yang lain cuba untuk melarikan diri, wanita kedua yang berdiri di luar masjid bergerak masuk dan meletupkan bahan letupannya di tengah-tengah kekecohan itu.”

Sumber, yang meminta untuk tidak dinamakan kerana tidak dibenarkan untuk bercakap kepada media, juga memberi jumlah kematian sebanyak 22 namun memberi jumlah tertinggi mereka yang cedera seramai 35 orang.