22 orang tamat kursus jurulatih

22 orang tamat kursus jurulatih

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Dis – Persatuan Bolasepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) kini sudah berjaya menganjurkan lima kali Kursus Kejurulatihan Sijil ‘C’ AFC, dengan yang terkini berakhir kelmarin apabila seramai 22 orang pesertanya menerima sijil kehadiran masing-masing.

Menyempurnakan penyampaian sijil kepada peserta yang terdiri daripada warnagenara Brunei Darussalam, Malaysia (seorang), Singapura (empat orang) dan Australia (dua orang) di NFABD House berkenaan ialah Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) NFABD, Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz.

Awang Rosdin dalam ucapan penutupnya berharap para peserta akan bermotivasi dan berinspirasi untuk menjadi seorang jurulatih dan membawa balik kesemua ilmu teori dan amali yang diperolehi di sepanjang kursus.

Langkah seterusnya yang lebih penting lagi adalah untuk menggunakannya di kelab bolasepak masing-masing, tegasnya.

Para peserta kursus bergambar ramai bersama Awang Rosdin (tengah).
Para peserta kursus bergambar ramai bersama Awang Rosdin (tengah).

Salah seorang peserta kursus dari Australia, James Nicholas Baxter menyatakan beliau melihat kursus itu sangat sukar dan ada banyak tugasan yang perlu dilaksanakan oleh seseorang itu sebelum boleh digelar sebagai jurulatih bertauliah Sijil ‘C’ AFC.

Sementara itu bekas penjaga gol kebangsaan Brunei Darussalam, Ibrahim bin Haji Abu Bakar yang pernah memenangi Piala Malaysia 1999, menyatakan kursus itu sangat berguna buat semua yang ingin menjadi jurulatih bola sepak. Menurutnya lagi, bola sepak moden sekarang ini lebih bersifat teknikal, maka dia sangat berbesar hati atas peluang yang diberikan oleh NFABD yang membolehkannya mengejar impian menjadi seorang jurulatih bola sepak.

Para peserta seramai 22 orang itu kini perlu memenuhi beberapa kriteria sebelum boleh memohon untuk mempertingkatkan sijil mereka kepada Sijil ‘B’ AFC iaitu minima dua tahun pengalaman sebagai jurulatih dan buku ‘log’ (catatan) dengan minima 60 jam masa melatih selain bukti memiliki Sijil ‘C’ AFC.

Hadir sama ke majlis penutup bagi kursus 12 hari yang telah bermula dari 24 November itu ialah EXCO NFABD, Haji Mohd Noor bin Haji Hamid, Pengarah Kejohanan NFABD, Haji Abdul Razak bin Haji Hasbullah dan Instruktor AFC merangkap Jurulatih Kakitangan Kanan NFABD, Stephen Ng Heng Seng.