22 pegawai penjara ditahan

22 pegawai penjara ditahan

MEXICO CITY, 15 Julai – Seramai 22 pegawai penjara ditahan berikutan kes raja dadah Mexico, Joaquin “El Chapo” Guzman meloloskan diri daripada tahanan, Sabtu lalu.

Pihak berkuasa Mexico berkata, penahanan itu dibuat berikutan terdapat beberapa andaian bahawa penjenayah paling dikehendaki itu mendapat bantuan orang dalam.

Ketika operasi memburu Guzman memasuki hari ketiga hari ini, Pejabat Peguam Negara sudah membebaskan 12 daripada 34 kakitangan penjara yang disoal siasat sejak Ahad lalu.

Menteri Dalam Negeri, Miguel Angel Osorio Chong, berkata Guzman pasti mendapat bantuan daripada pegawai penjara ketika melarikan diri pada hari berkenaan – ia kejadian kedua membabitkan pengedar dadah terbesar dalam tempoh 14 tahun.

Guzman melarikan diri melalui satu terowong sejauh 1.5 kilometer yang digali di bawah tempat mandi dalam selnya di penjara kawalan maksimum, Altiplano pada Sabtu lalu.

Sebuah kereta peronda polis melekatkan gambar Raja dadah El Chapo di jendela cerminnya. – AFP
Sebuah kereta peronda polis melekatkan gambar Raja dadah El Chapo di jendela cerminnya. – AFP

Ia adalah kes lari penjara kedua membabitkan El Chopo yang memalukan kerajaan Mexico. Pada 2001, raja dadah Sinaloa itu berjaya melarikan diri tetapi ditangkap semula pada Februari tahun lalu tetapi kini bebas semula selepas baru 17 bulan ditahan.

“Terdapat 22 orang yang pada mulanya diambil sebagai saksi kes, tetapi tindakan undang-undang terhadap mereka berubah kepada sebagai tahanan. Ini bermakna pihak berkuasa percaya ada penyertaan mereka dalam insiden itu,” kata seorang pegawai di Pejabat Peguam Negara.

Pihak berkuasa kini mempunyai 96 jam sama ada untuk mendakwa semua pegawai penjara berkenaan atau membebaskan mereka.

Pegawai itu bagaimanapun enggan mendedahkan sama ada pengarah penjara yang dipecat pada Isnin adalah antara yang dibebaskan atau masih dalam tahanan. – AFP