22 serpihan ditemui

22 serpihan ditemui

BINTULU, 16 Sept – Sejumlah 22 serpihan ditemukan setakat ini di Afrika Selatan, Mozambique, Mauritius dan Tanzania, yang mana dua serpihan disahkan manakala empat lagi hampir pasti daripada pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, serpihan yang disahkan sebuah flaperon yang ditemukan di Pulau Reunion Julai tahun lepas dan kepingan sayap di Pulau Pemba, di perairan Tanzania pada Jun tahun ini, adalah penting untuk memastikan bagaimana insiden ke atas pesawat Malaysia Airlines itu berlaku.

“Pengesahan ini amat bermakna kepada kami kerana kami boleh memastikan tindakan selanjutnya untuk mengkaji keadaan serpihan dan bagaimana insiden sebenar ke atas MH370 berlaku,” katanya.

Beliau berkata empat serpihan yang ditemukan adalah berkemungkinan tinggi daripada MH370 tetapi selebihnya adalah sukar dikenal pasti kerana tiada nombor siri atau butiran lain di atasnya. Liow berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas melawat pejabat Lembaga Pelabuhan Bintulu di Tanjung Kidurong di sini hari ini. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA